‘Wajah Berbeza’ – Thailand & Vietnam Rombak Senarai Pemain Skuad Sukan SEA Untuk Ke Piala Asia

Final Sukan SEA 2021 Vietnam Thailand skuad Piala Asia B-23

Walaupun bergelar finalis Sukan SEA 2021, Thailand dan Vietnam telah mengubah wajah skuad yang bakal bersaing di Piala Asia B-23 pada awal Jun depan, sementara Malaysia mengekalkan semua pemain sedia ada.

Umum sudah mengetahui, kedua-dua pasukan membawa pemain lebih umur untuk membantu mereka di saingan dwi tahunan tersebut dan perlu dikeluarkan daripada senarai pemain untuk ke saingan Piala Asia.

Selain pemain tersebut, Thailand gugurkan enam pemain lain dan Vietnam pula sisihkan empat pemain.

Kita juga sedia maklum yang kedua-dua pasukan sudah bertukar pengendali, Alexandre Ploking menyerahkan kembali tugas kepada Worrawoot Srimaka serta Park Hang-seo pula melepaskannya kepada Gong Oh-kyun.

Polking & ‘Coach’ Park Lepas Jawatan, Peluang Maloney Pacu Malaysia Ke Suku Akhir Piala Asia B-23?

Ia adalah skuad yang serba baharu dengan mungkin pendekatan baharu akan dibawa ke Tashkent, Uzbekistan. Mungkin ia akan menjadi semakin baik ataupun akan ada impak negatif disebabkan pertukaran pengendali.

Sementara itu, di Malaysia, Brad Maloney memilih untuk mengekalkan 100 peratus skuad di Sukan SEA yang lalu waima mereka gagal menghadirkan kilauan pingat buat kem Malaysia. Beliau yakin dengan pilihannya.

Skuad negara merupakan skuad termuda di kalangan semifinalis di temasya dwi tahunan tersebut dengan tiada pemain lebih umur dibawa. Mungkin ini satu aspek positif yang boleh menenangkan kita sebagai penyokong.

Maloney hanya menyenaraikan tiga pemain yang berada dalam senarai bersedia Sukan SEA iaitu Rahadiazli Rahalim, Umar Hakeem Suhar Rezwan dan Shafi Azswad Sapari ke dalam senarai 23 pemain ke Uzbekistan.

Malaysia bakal berdepan cabaran juara bertahan, Korea Selatan, Vietnam dan Thailand dalam aksi Kumpulan C.

Gong Oh-kyun Vietnam B-23 Piala Asia 2022
Gong Oh-kyun ketika ini mengendalikan skuad B-23 Vietnam. FOTO: VnExpress/Lam Thoa

Vietnam di bawah kendalian Gong dikhabarkan akan mempraktikkan formasi taktikal baharu, bukan lagi seperti ketika di era Park yang sinonim dengan formasi 5-3-2. Menurut salah seorang pemain, Tran Van Cong, formasi taktikal Gong menagih mereka untuk lebih mobil dan fleksibel. “Gong akan praktikan formasi 4-3-3,” katanya.

Mungkin ini faktornya empat pemain Sukan SEA digugurkan untuk sesuaikan formasi pilihan Gong. Mereka adalah Le Van Xuan, Nguyen Trong Long, Huynh Cong Den dan penyerang, Ho Thanh Min. Tonggak utama yang dikekalkan pula adalah seperti Nguyen Van Toan, Nguyen Thanh Binh, Le Van Do dan Nham Manh Dung.

Madam Pang Thailand U-23 Piala Asia 2022
Pengurus pasukan, Madam Pang bersama skuad Piala Asia B-23 Thailand. FOTO: Bangkok Post

Untuk Thailand, Worrawoot membuat perubahan drastik dengan membuat rombakan besar-besaran. Beliau turut membawa masuk 10 pemain dari luar negara seperti kapten, Thanawat Suengchitthawon yang beraksi di Leicester City di English Premier League (EPL) dan Yannick Nussbaum dari BSC Young Boys di Switzerland.

Bagi pengurus pasukan, Madam Pang, ini adalah era baharu bola sepak Thailand. Mereka akan mula dibarisi pemain dari pelbagai bangsa serta pemain warisan yang bermain di luar negara. Katanya, “Saya telah bercakap dengan mereka dan ahli keluarga mereka. Mereka tampak sangat teruja untuk bermain bersama Thailand.”

Selain Thanawat dan Yannick, antara pemain campuran lain yang berada dalam skuad kali ini adalah Marcel Sieghart (TSV Rain am Lech, Jerman), Chayapipat Supunpasuch (Estoril, Portugal), Achitpol Keereerom (Augsburg II, Jerman), Ben Davis (Oxford United, England) serta Nicholas Mickelson (OB Odense, Denmark).

Selain Thailand dan Vietnam, Korea Selatan turut dilihat membawa skuad terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Piala Asia di Uzbekistan dengan bakal dibarisi tiga pemain berpangkalan di luar negara iaitu Hong Hyun-seok (LASK, Austria), Lee Kang-in (Mallorca, Sepanyol) dan Jeong Sang-bin (Grasshopers, Switzerland).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN