Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al Ikhsan Sports, Vach Pillutla mengakui visi Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Yang Berhormat (YB) Damian Yeo Shen Li dalam meningkatkan kualiti pasukannya menjadi sebab syarikat tempatan itu tertarik untuk menaja skuad ‘Hang Tuah’ itu pada musim ini.
Pada 22 Februari lalu, satu majlis pelancaran jersi keluaran Al-Ikhsan Sports menerusi jenama AL Sports telah diadakan di Mahkota Parade, Melaka yang menyaksikan sambutan hangat diberikan para penyokong Melaka United.
Di samping sambutan hangat diberikan, reka bentuk jersi skuad Melaka United turut mendapat pujian para peminat bola sepak tanah air.
Mengulas mengenai kerjasama buat pertama kali antara Al Ikhsan Sports dan Melaka United itu, Vach secara peribadi mengakui beliau tertarik melihat visi serta matlamat tinggi Damian dalam mengemudi pasukan tersebut.
”Apabila kami memulakan perbincangan bersama Melaka United (berhubung penajaan), Melaka United sedang menikmati banyak perubahan dengan idea serta nafas baharu.”
”Kami juga amat tertarik dan menyukai visi YB Damian bagaimana beliau untuk membina semula Melaka United, bagaimana dia mahu menarik kembali sokongan peminat.”
”Dia berkongsikan kepada kami wawasannya, dia juga berkongsi tentang bagaimana dia mahu berkembang dan dia menjelaskan sebab mengapa memilih tarikh 22.2 untuk majlis pelancaran jersi.”
”Tarikh tersebut dipilih kerana dia mensasarkan tempat kedua buat Melaka United dalam saingan Liga Super musim ini,” ujar Vach bercakap kepada wakil Semuanya BOLA.
”Apabila seseorang mempunyai visi sedemikian, pada saya ia sangat penting dan selaras dengan tujuan syarikat kami untuk menjadikan rakyat Malaysia cergas dan aktif dengan menjadikan sukan mampu dinikmati oleh semua.”
Dalam pada itu, Vach turut menjelaskan bagaimana Al Ikhsan memberikan kemudahan secara menyeluruh buat pasukan dan juga para penyokong di seluruh negara.
”Apabila kami mengikat perjanjian bersama pasukan dan juga persatuan bola sepak, kami tidak memberikan wang tunai.”
”Cara kami adalah dengan bekerjasama dengan mereka, membina produk dan keseluruhan koleksi, seterusnya membawakan ke lebih 130 cawangan yang kami miliki.”
”Kami memiliki keupayaan untuk menyediakan produk tersebut dan para penyokong akan mudah untuk mendapatkan produk kami di mana-mana sahaja.”
Kredit foto: Melaka United Soccer Association