COVID-19: RB Leipzig Mohon Maaf Kerana ‘Halau’ Sekumpulan Penonton Jepun Keluar Dari Stadium

Kelab Jerman, RB Leipzig telah memohon maaf kepada sekumpulan penonton dari Jepun kerana tindakan ‘menghalau’ mereka keluar dari stadium ketika perlawanan Bundesliga berdepan Bayer Leverkusen disebabkan kebimbangan mengenai wabak Wuhan Coronavirus (COVID-19).

Dalam kenyataan rasmi kelab, Leipzig menjelaskan Institut Robert Koch yang menyelia hal kesihatan kelab telah menasihatkan pengawal stadium untuk membuat pemeriksaan ketat kepada setiap individu yang hadir menonton perlawanan di Red Bull Arena.

Susulan itu, berlaku kejadian di mana terdapat pengawal yang bertindak meminta sekumpulan penonton dari Jepun yang sedang menonton perlawanan di dalam stadium untuk keluar serta merta kerana dianggap berpotensi dijangkiti wabak tersebut.

Tindakan tersebut telah mendapat kecaman pelbagai pihak yang menganggap RB Leipzig telah bertindak mendiskriminasi warganegara tertentu.

“Malangnya dalam kes ini, dengan kebimbangan yang begitu meluas dan menjadi isu hangat dalam negara ketika ini, pengawal kami telah tersalah membuat penilaian yang melibatkan tetamu kami dari Jepun.

“Oleh yang demikian, kami memohon ribuan kemaafan di atas kesilapan yang telah berlaku. Kami berusaha sedaya upaya untuk menjelaskan mengenai salah faham tersebut dan sudah pun cuba untuk menghubungi mereka yang terlibat.

“Kami akan menjemput mereka untuk hadir ke Red Bull Arena dalam perlawanan seterusnya di tempat sendiri yang akan datang.”

Jerman setakat ini telah mencatatkan 150 kes positif namun masih belum melibatkan sebarang kematian.

Sekalipun Leipzig tidak memberikan perincian mengenai insiden tersebut, agensi berita tempatan melaporkan ianya melibatkan sekitar 20 orang pengunjung dari Jepun yang telah diminta untuk meninggalkan stadium ketika perlawanan baru berlangsung selama 10 minit.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 1-1 dan meletakkan Leipzig di tangga kedua dengan tiga mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan nilai kelab kami yang menyokong toleransi, integrasi antara kaum dan sama sekali menolak sikap perkauman mahupun diskriminasi.

“Pemain-pemain dalam pasukan kami tediri daripada 14 warganegara yang berbeza. Mereka tetap bersatu walau mempunyai budaya yang berbeza dan kami berbangga dengannya.”

Leave a Reply