Penyerang muda Brazil yang baru menyertai Real Madrid, Vinicius Jr. mungkin belum lagi merasai kehangatan sebenar La Liga.
Tetapi penyerang berusia 18 tahun itu pasti tahu keperitan dan erti perseteruan di antara dua kelab setempat selepas apa yang berlaku pada Ahad.
Kejadian berlaku ketika Vinicius beraksi untuk pasukan simpanan Los Blancos pada Ahad lalu apabila beliau digigit oleh lawan selepas menjaringkan dua gol untuk pasukannya berhadapan seteru setempat, Atletico Madrid pada Ahad lalu.
Vinicius menjaringkan dua gol dalam perlawanan derbi Madrid yang berkesudahan seri 2-2, tetapi kemudiannya terlibat dengan insiden membabitkan kapten Atletico Madrid B, Tachi yang bertindak mengigit bahagian belakang kepala pemain dari Brazil itu.
Insiden berlaku ketika kedua-dua pemain bergelut untuk memenangi perebutan bola.
Vinicius Junior’s second of the game vs Atletico – GOLAZO!pic.twitter.com/JnBiikfGs4
— FootballTalentScout (@FTalentScout) September 2, 2018
Tachi bagaimanapun tidak dilayangkan kad merah, sebaliknya hanya dilayangkan kad kuning akibat perbuatannya itu.
Manakala Vinicius turut mendapat kad kuning daripada pengadil kerana kata-kata yang dikeluarkan dari mulutnya.
Penampilan pertama Vinicius bersama pasukan kedua Real Madrid tiba pada minggu lalu dalam kemenangan 2-0 ke atas Las Palmas Atletico. Namun pemain tersebut tidak menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan itu.
Bermula dari kesebelasan utama untuk berhadapan Atletico Madrid, Vinicius menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-7 dan ke-28 perlawanan dan beraksi sepanjang 90 minit perlawanan tersebut.
Vinicius sebenarnya menjalani latihan bersama skuad utama Los Blancos, namun beraksi untuk skuad simpanan Real. Ia adalah perancangan Jule Lopetegui yang mahu menonton sendiri aksi pemain muda tersebut dari tempat duduk penonton.
Walaupun menyerlah dengan dua gol, Vinicius dijangka akan terus bersama pasukan simpanan Real sehingga Lopetegui berpendapat tiba masanya pemain tersebut untuk diturunkan bersama skuad utama.
Vinicius tiba di Santiagi Bernabeu dengan nilai €45 juta daripada Flamengo pada musim panas lalu, dan perancangan awal ialah untuk meneruskan pembangunan di bawah kendalian jurulatih, Santiago Solari.
Insiden mengigit pemain lawan oleh Tachi pasti mengingatkan kita akan insiden serupa yang melibatkan Luis Suarez ketika menyarung jersi Ajax, Liverpool dan juga Uruguay.
Namun penyerang tersebut kini lebih tenang setelah meninggalkan Liverpool untuk menyertai Barcelona pada 2014.