Skuad Vietnam B-23 tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk mencari sumber inspirasi untuk dijadikan motivasi, apabila bakal berhadapan dengan cabaran Uzbekistan dalam perlawanan akhir Kejohanan AFC B-23 pada Sabtu akan datang.
Motivasi terbesar untuk anak muda Vietnam ini pastinya ialah untuk menghadiahkan kejuaraan tersebut kepada penyokong mereka yang telah menunjukkan sokongan padu dan sentiasa berada di belakang pasukan sejak sepak mula kejohanan.
Vietnam bukanlah pasukan pilihan di dalam kejohanan ini. Apatah lagi diundi bersama-sama gergasi bola sepak Asia yang lain seperti Korea Selatan, Australia dan juga Syria.
Namun demikian anak buah Park Hang-seo ini berjaya melepasi peringkat kumpulan tersebut, sebelum penentuan sepakan penalti membantu mereka menewaskan Iraq dan juga Qatar untuk menempah tempat sebagai inalis di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Kemaraan Vietnam di kejohanan ini turut mendapat reaksi dan sambutan yang diibaratkan seperti pesta di seluruh Vietnam. Seluruh jalan raya di sekitar Hanoi, Ho Chi Minh dan Saigon dipenuhi oleh penyokong yang bertempik dan menari bagi meraikan kejayaan skuad B-23 negara mereka.
Bagi kapten pasukan Vietnam B-23, Luong Xuan Truong, semangat yang ditunjukkan oleh penyokong mereka akan dijadikan inspirasi serta motivasi untuk melakar satu lagi kejutan pada Sabtu hadapan.
“Saya masih sukar mempercayai kami mampu mara sejauh ini. Ia adalah sesuatu yang luar biasa.”
“Sudah tentu kami teruja dengan perjalanan dan kejayaan setakat ini. Rakyat Vietnam di China dan di negara kami memberikan sokongan yang kuat. Dan ia adalah motivasi terbaik untuk para pemain di China.”
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka. Kami akan memberikan aksi terbaik dan cuba meraih kemenangan di aksi perlawanan akhir sebagai hadiah buat para penyokong,” ujar Xuan Truong,
Ketua Jurulatih Vietnam yang berasal dari Korea Selatan, Park Hang-seo turut senada dengan kapten beliau.
“Kejayaan menundukkan Qatar adalah hasil usaha gigih setiap pemain. Saya memberitahu setiap 23 pemain di dalam skuad ini. Bahawasanya mereka tidak sepatutnya mengecewakan harapan rakyat Vietnam.”
“Selepas itu pemain bangkit dari ketinggalan, dan jelas membuatkan rakyat Vietnam bangga,” ujar Hang-seo.