Penyerang terbilang bola sepak dunia, Zlatan Ibrahimovic terus mempamerkan bisa jaringan menarik beliau setelah berjaya melakukannya pada pertemuan Major League Soccer (MLS) menentang New England Revolution.
Jaringan menarik hasil ‘bicycle kick’ tersebut bagaimanapun tidak mampu untuk sekurang-kurangnya memberikan satu mata buat LA Galaxy selepas kecundang 1-2 pada aksi berlangsung di Dignity Health Sports Park itu.
Kemenangan ini juga memberikan makna yang cukup besar buat pengurus New England Revolution, Bruce Arena apabila kembali ‘terjun’ ke bidang kejurulatihan selepas kali terakhir beliau membimbing skuad kebangsaan Amerika Syarikat.
Arena meninggalkan skuad kebangsaan negara ‘Uncle Sam’ itu pada Oktober 2017 selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia.
🚲 DARE TO ZLATAN 🚲@Ibra_official 😱 pic.twitter.com/pU4zVMqXbk
— LA Galaxy (@LAGalaxy) June 3, 2019
New England mendahului LA Galaxy 2-0 selepas Cristian Penilla dan Teal Bunbury mencipta jaringan pada minit ke-45 dan 60.
Zlatan Ibrahimovic merapatkan kedudukan menerusi jaringan memukau pada minit ke-84 selepas beliau mengawal dengan baik bola hantaran Joe Corona dan kemudiannya melakukan ‘bicycle kick’ yang terus menerjah gawang New England dikawal Brad Knighton.
Tetapi jaringan itu masih belum cukup untuk menghalang New England dari meraih tiga mata penuh pada perlawanan ini.