Will Grigg muncul wira Wigan Athletic apabila jaringan tunggal yang dihasilkannya berjaya menyingkirkan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada pusingan ke-5 Piala FA awal pagi tadi.
Kekalahan tersebut juga bermakna impian Manchester City untuk memburu empat kejuaraan bagi musim ini berkecai.
Skuad anak buah Pep Guardiola harus menyalahkan diri sendiri apabila deretan peluang yang dimiliki pada perlawanan yang berlangsung di DW Stadium itu gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Penjaga gol Wigan, Christian Walton turut bertindak cemerlang bagi menghalang asakan bertali arus dilancarkan barisan serangan City yang diketuai Sergio Aguero.
Ketika perlawanan babak pertama semakin menghampiri penghujung, pengadil perlawanan, Anthony Taylor bertindak melayangkan kad merah kepada Fabian Delph selepas pemain tengah Manchester City itu melakukan terjahan terhadap Max Power.
Dalam keghairahan Manchester City berusaha mencari jaringan, Will Griggs muncul sebagai wira buat penyokong tuan rumah pada minit ke-79.
Griggs yang melakukan larian solo berjaya melepasi kawalan Kyle Walker sekaligus menewaskan Claudio Bravo di gawang Manchester City untuk jaringan kemenangan buat pasukan di League One itu.
Kemenangan yang dicatatkan oleh Wigan Athletic keatas Manchester City ini adalah yang ketiga buat mereka dalam tiga pertembungan terakhir buat kedua-dua pasukan dalam saingan Piala FA.
https://www.youtube.com/watch?v=vv6QTWa6Lws