Bagaimanakah kita boleh meluahkan kegembiraan untuk meraikan kejayaan menjulang trofi kejuaraan? Mungkin cara terbaik ialah dengan menyanyi sepenuh hati. Bukankah lagu dan irama itu adalah landasan terbaik untuk setiap insan meluahkan perasaan?
Itulah yang berlaku kepada pengurus Paris Saint-Germain selepas berjaya membawa pasukannya memenangi trofi pertama sejak tiba di kelab Paris itu pada penghujung musim lalu.
Bekas pengendali Borussia Dortmund itu berjaya membawa pulang trofi pertama untuk PSG selepas pasukan kendaliannya membelasah Monaco 4-0 di pertandingan Trophee des Champions.
Trophee des Champions adalah trofi rebutan, yang dijadikan perlawanan pembuka tirai saingan baru bagi liga domestik di Perancis. Sepertimana Community Shield di England, ataupun Piala Sumbangsih di Liga Malaysia, Trophee des Champions adalah perlawanan yang menandakan bermulanya musim baharu Ligue 1 Perancis.
Menariknya perlawanan tersebut diadakan di China, sebagai langkah pihak penganjur untuk melakukan promosi dan menaikkan nilai saingan domestik Perancis itu.
Pengurus berusia 44 tahun yang mengambil alih dari Unai Emery pada Mei lalu adalah watak yang popular di kalangan pemain.
Ketika sidang media selepas perlawanan sedang berlangsung, pemain-pemain PSG dilihat menyerbu masuk, menyemburkan champagne ke arah pengurus mereka sebelum memaksa pengurus mereka itu menyanyi di hadapan wakil media yang berada di situ.
Hasilnya? Tuchel menurut sahaja, dan nyanyian keraian beliau disambut dengan gembira oleh pemain-pemain PSG. Anda boleh menyaksikan nyanyian tersebut melalui video di bawah.
Moral dari kisah ini, bila rasa gembira, bernyanyilah!