Ketika diminta menjelaskan insiden ini, pengurus Stoke City, Mark Hughes hanya mampu berkata, “Macam mana bola itu tak gol, saya pun tak tahu.”
Stoke City pastinya menyalahkan nasib tidak baik mereka kerana tidak dapat menjaringkan gol selepas 4 kali berturut-turut membuat percubaan tepat ke arah pintu gol Huddersfield.
Tetapi kecemerlangan penjaga gol Huddersfield kelahiran Denmark, Jonas Lossl yang menafikan 4 percubaan tersebut perlu dipuji.
Stoke City yang baru sahaja menang 3-1 menentang West Brom 3 hari lepas turun menghadapi Huddersfield dengan barisan kesebelasan utama yang sama – dengan harapan untuk membina platform prestasi yang baik.
Bagaimanapun kegoyahan pertahanan Stoke City dan dominasi Aaron Mooy untuk Huddersfield di tengah membuatkan kerja Stoke City untuk mencipta kemenangan semakin sukar.
Meskipun membuat 7 aksi menyelamat, Jack Butland telah beberapa kali membuatkan penyokong Stoke City gementar sepanjang perlawanan melalui siri-siri kesilapan yang dilakukan beliau dan rakan-rakan sepasukannya.
Paling teruk adalah hantaran ke belakang Joe Allen yang hampir-hampir membuahkan gol untuk Huddersfield. Mujur Butland pantas menepis bola keluar untuk memberi sepakan sudut kepada pasukan tuan rumah.
Situasi Stoke City menjadi lebih sukar apabila kapten Ryan Shawcross terpaksa dikeluarkan pada minit ke-30 kerana kecederaan.
Sementara itu Huddersfield pastinya kecewa dengan hanya satu mata yang dibawa pulang selepas mendominasi sebahagian besar perlawanan ini.
The Terriers mencipta 18 percubaan tepat ke arah gol, 10 daripadanya ketika separuh masa kedua, tetapi mereka tidak mampu menjaringkan lebih daripada 1 gol.
Dengan Aaron Mooy cemerlang di tengah, Collin Quaner dan Rajiv van La Parra di bahagian sayap, Huddersfield tetap perlu berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Jonas Lossl yang menghalang insiden dalam video di bawah daripada memberi gol kepada pasukan pelawat.
Goalline Technology menunjukkan bola hanya kurang beberapa milimeter sebelum melintasi garisan gol sepenuhnya.
Sebagai rekod, perlawanan ini berakhir dengan keputusan seri 1-1. Tom Ince memberikan pendahuluan buat The Terriers ketika perlawanan baru berusia 10 minit. Tetapi penyerang sayap Stoke City, Ramadan Sobhi menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-60.
StokeHuddersfield from Ahmad Muzammil on Vimeo.