Bola sepak sepatutnya menjadi medium dan platform perpaduan di kalangan pemain, dan juga masyarakat yang mendakwa diri cintakan bola sepak.
Kerana itulah kempen ‘fair play’ diperkenalkan. Tujuan utamanya ialah supaya bola sepak dimainkan dengan semangat kesukanan.
Kalah dan menang itu adat permainan. Bila menang, ianya diraikan. Apabila tewas, maka kekalahan harus diterima dengan berlapang dada sambil usaha untuk memperbaiki prestasi di perlawanan-perlawanan seterusnya wajib dilakukan.
Bola sepak juga tidak boleh lari daripada gurauan, atau pun ‘troll’. Itu biasa dan harus kita terima. Jika tidak, sukan ini akan menjadi hambar. Namun ianya harus dilakukan dengan rasa hormat kepada lawan, atas semangat ‘fair play’, tanpa ada provokasi melampau yang boleh menimbulkan kemarahan.
Bercakap mengenai nilai murni di dalam bola sepak, ianya wajar dipupuk sejak daripada zaman kanak-kanak lagi. Di dalam konteks bola sepak, nilai murni itu harus diterapkan di peringkat akar umbi.
Namun demikian, perkara sebaliknya yang berlaku di satu perlawanan bola sepak membabitkan dua buah sekolah dipercayai di Perlis.
Satu pergaduhan telah berlaku membabitkan penyokong kedua-dua pasukan. Ironinya, ia melibatkan penyokong dewasa yang terdiri daripada ibu bapa pemain-pemain.
Semuanya bermula melalui aksi di atas padang. Di minit akhir perlawanan, tatkala Sekolah A (nama sekolah tidak didedahkan), sedang mendahului Sekolah B, satu kekasaran telah berlaku.
Penjaga gol Sekolah A dikatakan telah melakukan terjahan keras ke atas pemain penyerang Sekolah B. Akibat tidak berpuas hati dengan tindakan penjaga gol tersebut, terdapat penyokong yang menghamburkan kata-kata kurang enak terhadap penjaga gol tersebut.
Tidak dapat dipastikan sama ada individu tersebut adalah penjaga kepada mana-mana pemain, atau sekadar penyokong biasa yang hadir menyaksikan perlawanan.
Namun kata-kata dari individu terbabit menyebabkan penjaga/ayah kepada penjaga gol tersebut tidak berpuas hati.
Akibatnya, provokasi yang pada mulanya hanya menggunakan mulut, bertambah semakin parah apabila turut melibatkan lebih ramai kedua-dua pasukan.
Video di bawah memaparkan beberapa individu saling bercakaran antara satu sama lain. Turut kelihatan, serpihan kerusi yang patah, mungkin turut digunakan di dalam percakaran tersebut.
Persoalannya, apakah nilai yang kita mahu anak muda kita pelajari daripada sukan bola sepak? Di manakah semangat kesukanan yang harus dibina melalui sukan bola sepak?
Soalan yang lebih serius ialah, apakah wajah bola sepak yang mahu kita bina untuk negara ini di masa hadapan?
Bagi kami, insiden sebegini tidak seharusnya berlaku di mana-mana peringkat pertandingan di dalam negara. Sehingga artikel ini ditulis, belum boleh dipastikan apakah tindakan susulan oleh pihak berwajib untuk mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.
Bola sepak jelas bukan tempat bukan tempat untuk individu yang tidak mempunyai nilai ‘fair play. Ia adalah kejadian yang cukup memalukan apabila kejadian sebegini berlaku.
Renung-renungkan.
https://vimeo.com/266625692