Son Heung Min Harap Tottenham Hotspur Lepaskannya Untuk Beraksi Di Sukan Asia

Mengikut undang-undang di Korea Selatan, semua pemuda yang sihat tubuh badan wajib menjalani khidmat tentera selama 21 bulan dan undang-undang negara itu menyatakan tempoh khidmat itu perlu bermula sebelum usia mencecah 27 tahun.

Namun begitu, pemenang pingat emas temasya Sukan Asia atau Sukan Olimpik akan dikecualikan daripada menjalani khidmat tentera untuk tempoh hampir dua tahun itu.

Itu adalah sebab kenapa penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung Min berminat untuk mewakili negaranya beraksi di temasya Sukan Asia tahun ini di Indonesia pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

Heung Min beraksi cemerlang buat Spurs musim ini, meledak 18 gol dalam semua pertandingan tetapi pemain 25 tahun itu akan menyaksikan kariernya terbantut seketika.

https://twitter.com/SPURSTORIES/status/989101944919740416

“Son mempunyai keazaman tinggi untuk beraksi di Sukan Asia,” kata Hak Bum seperti dilaporkan agensi berita Yonhap.

“Tapi sebelum itu ada Piala Dunia. Saya beritahu Son untuk bermain baik di Russia sebelum kami bertemu di Sukan Asia.”

Menurut Hak Bum, beliau berjumpa Heung Min di Britain dalam kunjungannya ke Eropah bagi mencari calon untuk pemilihan skuad Sukan Asia.

Heung Min, yang boleh disenaraikan sebagai salah seorang daripada tiga pemain lebih had umur, tidak dilepaskan kelab lamanya Bayer Leverkusen untuk beraksi pada Sukan Asia Incheon 2014 apabila tuan rumah Korea Selatan menewaskan Korea Utara dalam perebutan pingat emas.

Memandangkan pertandingan bola sepak Sukan Asia bukan dalam kalendar FIFA, kelab berhak tidak melepaskan pemain mereka tetapi laporan di Britain menyatakan Spurs mungkin memberikan pelepasan buat Heung Min.

Musim Liga Perdana Inggeris 2018-19 akan bermula pada 11 Ogos depan dengan final bola sepak Sukan Asia akan berlangsung pada 1 September.

“Ia isu sensitif. Saya percaya Persatuan Bolasepak Korea akan menangani perkara ini dengan baik,” kata Hak Bum.

Leave a Reply