Selepas kira-kira lapan musim, Kedah akhirnya kembali dengan gelaran Sang Kenari dan tiada lagi panggilan Helang Merah yang mula diperkenalkan pada musim 2014 di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.
Bermusim-musim ditentang sebilangan besar penyokong yang masih setia dengan legasi Sang Kenari, akhirnya pada musim ini, pengurusan Kedah Darul Aman FC ambil keputusan untuk kembalikan gelaran bersejarah itu. Ia pastinya akan mengembalikan nostalgia disamping semangat baharu buat pasukan dari utara tanah air itu.
Logo, gelaran Sang Kenari dan juga kata keramat “Biar Jasa Jadi Kenangan” adalah antara legasi tinggalan Bapa Pembangunan bola sepak Kedah itu sendiri iaitu Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri bin Mohd Akil.
Walaupun burung kenari tidak terdapat dalam logo asal pasukan, ia tetap mempunyai sentimental value bagi penyokong-penyokong Kedah sejak era semi pro sehingga ke era ‘double treble’ pada 2007 dan 2008. Ianya satu pencapaian hebat yang belum mampu diulangi oleh mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia sehingga kini.
Jadi, pertama sekali, tahniah daripada penulis buat para penyokong yang terus setia untuk bersama legasi DAB!
Bagi pencinta burung, Kenari adalah spesis burung yang unik. Spesis ini punyai pesona keindahan dengan nilai yang tinggi. Di England, Norwich menggunakan nama Kenari ini kerana sifat burung ini yang sangat cekal serta memiliki ‘nyanyian’ yang mempersonakan. Malah, warnanya sinonim dengan warna skuad Kedah – hijau kuning.
Sayangnya penyokong Kedah kepada Sang Kenari kerana mereka sudah disemai dengan semangat ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’. Ada juga suara yang menyatakan langkah ini seolah-olah cubaan untuk memadamkan jasa dan legasi Allahyarham Dato’ Ahmad Basri yang telah banyak menyumbang dan berjasa kepada bola sepak Kedah.
Di sebalik bantahan penyokong, pengurusan ketika itu tetap meneruskan langkah transformasi ‘total’ tersebut.
Sebentar tadi, menerusi posting di laman Facebook rasmi pasukan Kedah, sebuah klip video dengan titipan, “Kami kini digelar ‘Sang Kenari’!” dengan imej-imej pemain, penyokong, sorakan dan tentunya burung kenari.
Jadi, secara rasminya, Kedah kini kembali dikenali sebagai Sang Kenari. Video itu telah dipaparkan ketika majlis memperkenalkan penaja dan rakan rasmi KDA FC untuk musim 2022 yang telah berlangsung sebentar tadi. Selamat kembali Sang Kenari yang penuh legasi dan sejarah serta selamat tinggal diucapkan Helang Merah!