‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ – Mengenang Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil, Pembina Legasi Bola Sepak Kedah

Nama ini bukanlah asing bagi majoriti penyokong bola sepak negeri Kedah. “Biar Jasa Jadi Kenangan”, adalah satu legasi tidak terungkap maknanya bagi mereka yang tahu perjuangan tanpa kenal penat lelah itu.

Dilahirkan pada 25hb April 1939, Ahmad Basri Akil adalah anak jati negeri Kedah Darul Aman. Siapa yang tidak kenal akan bekas pengurus Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah ini.

Beliau juga adalah seorang penjawat awam yang penuh dedikasi ketika hayatnya.

Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil

Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Bin Mohd. Akil menjawat beberapa jawatan sepanjang perkhidmatan, sebelum menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah sehingga beliau bersara.

Kerana minat, cinta dan kasih, anak kelahiran Alor Setar Kedah ini juga pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah Darul Aman dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menabur bakti dalam sukan bola sepak yang beliau cintai.

Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah

“Saya suka bermain bola sepak, tetapi bukannya bagus. Tetapi saya cintakan sukan ini dan tidak pernah mahu menyisihkan diri daripadanya.” – Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil.

Tidak ada siapa yang boleh menafikan betapa dalamnya cinta Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil kepada sukan bola sepak. Mereka menggelar Allahyarham “Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah”.

Ketika penglibatan beliau di dalam arena bola sepak tempatan, Allahyarham dikenali sebagai seorang lelaki yang penuh visi, sentiasa bekerja keras dan tidak pernah kenal akan makna penat lelah.

Allhyarham telah mentransformasikan bola sepak Kedah sebagai sebuah pasukan kerdil di Malaysia kepada sebuah pasukan yang digeruni di negara ini pada era itu.

Rancangan 5 tahun (1987-1991)

Kejayaan pasukan Kedah pada lewat 80-an bukanlah satu kerja mudah.

Ahmad Basri memahami bahawa untuk memastikan Kedah muncul sebagai sebuah pasukan yang berjaya, beliau memerlukan satu pelan pembangunan jangka panjang dan memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau cukup teliti dalam memastikan kesemua pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai persatuan negeri mengikuti perancangan pembangunan bola sepak yang dimulakannya.

Ahmad Basri cukup yakin sekiranya pelan pembangunan yang dirancang oleh beliau itu dilaksanakan dengan betul, maka kejayaan bukanlah sekadar impian semata-mata buat rakyat negeri Kedah.

Skuad Kedah FA 1988. Kredit: Sokernet

Untuk memastikan pasukan bola sepak mampu bersaing dengan gergasi bola sepak tanah air yang lain seperti Singapura, Selangor dan Kuala Lumpur pada masa itu, langkah seterusnya ialah untuk mendapatkan pengendali yang cekap.

Ahmad Basri meyakinkan barisan exco Kedah FA pada masa itu untuk mendapatkan pengendali dari Republik Czech, Milous Kvacek.

Ahmas Basri turut merantai pemain-pemain muda seperti Lee Kin Hong, Tan Cheng Hoe, Radhi Mat Din, Ahmad Sobri, Azmi Mahmud, Che Hishamuddin Hassan serta pasangan kembar Feriza dan Farouk Ismail. Kedah turut dibarisi pemain senior seperti Nor Azam Ishak dan K. Ravichandran pada era tersebut.

Ahmad Basri memegang watak seperti seorang ayah buat pemain-pemain Kedah. Selain daripada menjaga kebajikkan pemain, beliau turut membantu mereka mendapatkan pekerjaan di jabatan-jabatan kerajaan di sekitar Kedah.

Umum tahu kegawatan ekonomi pada lewat 80an menyebabkan kehidupan tidak mudah pada zaman tersebut. Ini dimudahkan kerana beliau juga menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada ketika itu.

Biar Jasa Jadi Kenangan

“Hijau Kuning tanahku
Darul Aman negeriku
Hijau kuning darahku
Negeri Kedah negeriku”

Demikianlah sebahagian daripada bait lagu “Biar Jasa Jadi Kenangan” yang liriknya dicipta sendiri oleh Ahmad Basri.

Siapa sangka, Allahyarham juga berbakat di dalam penciptaan lagu. Tujuan beliau menulis lagu ini adalah supaya para penyokong boleh turut sama-sama menyanyi untuk menyemarakkan semangat pemain-pemain ketika keluar dari bilik persalinan sebelum aksi di padang.

Lagu “Biar Jasa Jadi Kenangan” dikumandangkan setiap kali pasukan Kedah beraksi di halaman sendiri, Stadium Darul Aman.

Langkah ini berjaya diterima oleh penyokong Kedah dengan baik yang sentiasa hadir memenuhi setiap pelusuk stadium ketika perlawanan membabitkan pasukan Kedah di Alor Setar.

Pada ketika Stadium Darulaman dibaikpulih untuk memuatkan 30,000 penonton daripada kapasiti asal 14,000 tempat duduk, lagu “Biar Jasa Jadi Kenangan” sudah pun menjadi lagu rasmi pasukan Kedah FA.

Era Semi Pro

Ketika bola sepak Malaysia menuju era semi pro, Ahmad Basri membawa masuk empat pemain asing untuk membantu cabaran negeri jelapang padi itu.

Penyerang Republik Czech, Jan Janostak, pemain tengah dari Slovakia, Tibor Szaban, V. Suresh Kumar dari Singapura dan Olubunmi Adigun dari Nigeria nyata bukan pelaburan yang sia-sia.

Walaupun Ahmad Basri dan Kedah punyai pelan perancangan  5 tahun untuk bola sepak Kedah, skuad Hijau Kuning hampir mendakap kejuaraan Piala Malaysia mereka yang pertama pada tahun 1987.

Malangnya 3 percubaan mereka di final piala paling berprestij negara itu dinafikan oleh Kuala Lumpur yang memenanginya untuk 3 tahun berturut-turut pada tahun 1987, 1988 dan juga final 1989.

Pengalaman beraksi di pentas final untuk 3 tahun sebelumnya tidak disia-siakan dalam percubaan keempat pasukan dari utara Semenanjung Malaysia ini.

Pada tahun 1990, mereka menewaskan Singapura 3-1 untuk menjulang piala kebanggaan rakyat Malaysia itu.

Ia adalah kejayaan yang sangat manis buat Datuk Paduka Basri Akil, pemain-pemain Kedah dan rakyat negeri yang sentiasa di belakang pasukan tersebut. Nyata usaha tanpa mengenal penat lelah, telah membuahkan hasil buat mereka.

Kedah yang juga dikenali dengan nama Sang Kenari turut mencipta sejarah muncul pasukan pertama muncul dalam pentas final sebanyak 6 kali pada era itu (1987-1993).

Ini adalah satu kenyataan jelas bahawa satu gergasi bola sepak tanah air telah muncul di wilyah utara Malaysia.

Jatuh bangun Sang Kenari

Kedah tersungkur ke Divisyen 2 Liga Malaysia pada 1992. Tidak dapat dipastikan punca sebenar kejatuhan pasukan tersebut setelah melalui musim-musim yang hebat sebelumnya.

Tetapi Ahmad Basri Akil adalah seorang insan yang tidak pernah menyerah kalah. Apatah lagi jika berbicara akan pasukan kesayangannya, Kedah Darul Aman.

Penyokong Kedah pada hari ini boleh berbangga dengan legasi peninggalan Allahyarham Datuk Paduka Basri Akil.

Langkah seterusnya, Datuk Ahmad Basri Akil bersama Kedah FA melantik pengendali dari Belanda, Robert Alberts.

Kedah kembali mendominasi bola sepak tanah air apabila menjulang kejuaraan berganda, Liga Malaysia dan Piala Malaysia pada tahun 1993.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Kebolehan Datuk Paduka Ahmad Basri Akil di dalam bidang pengurusan bola sepak tidak dipandang sipi olejh ahli gabungan FAM. Pada tahun 1996, beliau dilantik sebagai Naib Presiden FAM dalam stu Kongres badan induk itu.

Beliau turut memegang port folio bahagian pembangunan belia ketika bersama FAM. Ahmad Basri dikenali sebagai seorang pemimpin yang berani dan bersuara lantang.

Akibat kelantangannya meyuarakan pendapat, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil digantung 4 tahun pada tahun 2001 dan 3 tahun pada tahun 2006 oleh badan induk bola sepak negara, FAM.

Walaupun digantung oleh FAM, cinta dan kasih Allahyarham tidak pernah pudar. Beliau turut menjadi kolumnis dalam sebuah akhbar tempatan bagi beliau melontar pendapatnya.

Kritikan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil terhadap FAM pada satu masa dahulu mungkin ada benarnya. Bola sepak negara mungkin tidak menjunam seperti hari ini jika teguran dan nasihat Allahyarham diendahkan oleh pihak berkenaan satu masa dahulu.

Penutup: Legasi tiada bandingan

Jasa Allahyarham dalam mentransformasikan bola sepak negeri Kedah Darul Aman pada era pra semi pro sangat signifikan pada hari ini.

Pada hari ini biarlah nama Datuk Ahmad Basri Akil dan jasa beliau terus menjadi kenangan.

Kredit foto hadapan: Facebook, Arkib Dato’ Paduka Ahmad Basri Akil

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN