Reputasi skuad futsal Brazil di kancah antarabangsa sememangnya tidak perlu lagi untuk diperkatakan. Pencapaian hebat di pentas dunia serta dibarisi pemain-pemain berkelas dunia menjadikan Brazil antara pasukan yang amat digeruni pasukan lain.
Sejak Piala Dunia Futsal FIFA diperkenalkan sejak 1989, Brazil menjulang trofi paling berprestij itu sebanyak lima kali dan pada edisi 2000 dan 2004 mereka menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.
Namun, tanggal 21 September 2016 menjadi antara detik hitam buat Brazil kerana buat pertama kali perjalanan mereka dalam saingan Piala Dunia Futsal terhenti seawal peringkat 16 selepas cemerlang pada tujuh edisi awal.
Lebih menarik untuk diperkatakan adalah lawan yang telah memalitkan kedukaan buat Brazil pada ketika itu adalah pasukan dari benua Asia iaitu Iran.
Reputasi hebat dimiliki Brazil langsung tidak menggentarkan Iran walaupun lawan tersebut diketuai legenda futsal dunia, Falcao. Beliau sendiri telah mencipta hatrik pada perlawanan yang sekaligus menjadi aksi terakhir beliau di pentas antarabangsa.
Brazil pada satu sedang ketika mendahului dengan kedudukan 3-1 tetapi skuad bimbingan Seyed Nazemalsharieh bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke-31 menerusi Afshin Kazemi.
Ketika perlawanan hanya berbaki tiga minit untuk ditamatkan, usaha Iran menerusi taktikal ‘powerplay’ membuahkan hasil apabila Ali Ashgar Hasanzadeh menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Memasuki masa tambahan, Falcao kembali menceriakan kem Brazil setelah dengan tenang beliau menewaskan penjaga gol, Alireza Samimi pada minit ke-48.
Namun, tidak sampai seminit jaringan tersebut terhasil, powerplay yang dilakukan Iran sekali lagi mengecewakan gergasi dunia itu apabila ledakan Mohammad Keshavarz berjaya membolosi gawang gol mereka.
Gol yang amat bermakna itu menyaksikan slot ke suku akhir terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. Satu keadaan yang pastinya membuatkan kedua-dua pasukan begitu tertekan.
Malang menimpa Brazil apabila sepakan kedua diambil Ari Santos terkena tiang di sebelah kiri pintu gol Iran manakala dua sepakan berikutnya buat Iran pula disempurnakan dengan baik oleh Mohammad Reza Sangsefidi dan Ahmad Esmaeilpour untuk memberikan kemenangan yang cukup bermakna buat pasukan nombor satu Asia itu.
Kemenangan itu nyata telah mencalarkan ego Brazil yang turun ke Colombia dengan misi meraih kejuaraan Piala Dunia buat kali keenam dan kenangan pahit itu sudah pastinya akan sentiasa bermain di minda kem futsal Brazil sehingga ke hari ini.
Pada saingan tersebut, Iran berjaya menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Portugal juga menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas mereka kecundang 3-4 di peringkat separuh akhir ditangan Rusia.
Kredit featured image: Victor Decolongon – FIFA/FIFA via Getty Images