Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL KAJIAN & FAKTA

10 Cara Berkesan Bagi Mencipta Serangan Buat Pasukan Futsal Anda

Serangan yang direncanakan dengan baik mampu untuk menghasilkan jaringan buat sesebuah pasukan futsal dan juga dapat memberikan ancaman buat pasukan lawan.

Kekuatan ketika menyerang menjadi antara aspek penting buat pasukan-pasukan ternama.

Taktikal yang berkesan, kualiti yang dimiliki oleh pemain dan pasukan serta kreativiti dalam merancang serangan begitu diperlukan buat sesebuah pasukan dalam usaha mencipta serangan yang berbahaya.

Dalam usaha yang ingin dilakukan itu, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang pemain ketika menyerang gawang lawan.

Berikut adalah perkara yang perlu dilakukan oleh pemain bagi mencipta serangan buat pasukan :

1) Tidak hanya statik pada satu tempat sahaja

Gelanggang futsal yang lebih kecil berbanding bola sepak membuatkan anda perlu bertindak pantas dalam mencari ruang yang lebih baik untuk membantu rakan anda.

Anda mesti bergerak walaupun tanpa bola di kaki dan anda perlu memastikan agar berada dalam satu-satu tempat tidak melebihi dari 3 saat.

2) Pantas menutup ruang kosong yang ditinggalkan oleh rakan anda

Apabila rakan anda meninggalkan posisinya, anda perlu pantas untuk melindungi (cover) kawasan tersebut.

Perkara ini dapat memberikan peluang kepada anda untuk mencari ruang yang sesuai bagi meneruskan serangan.

3) Pemain yang membawa bola perlu mendekatkan diri kepada pertahanan lawan

Situasi ini membolehkan anda untuk menghantar bola kepada pemain yang lain.

Ianya juga bagi membantu dalam memberikan tekanan kepada pertahanan lawan untuk melakukan kesilapan.

Rakan lain (tanpa bola) perlu menjauhkan diri daripada pemain pertahanan lawan.

4) Kenalpasti tindak-tanduk dan kelaziman yang dilakukan pemain lawan

Anda perlu mengenalpasti kelaziman bagi pemain pertahanan dan penjaga gol lawan.

Sebagai contoh, cara pergerakan dan sifat kebiasaan mereka semasa dalam perlawanan.

Gunakan maklumat yang telah dikenalpasti bagi mencipta gerakan serangan pasukan anda dengan lebih lancar.

5) ‘Pass and move’

Kemahiran ini merupakan satu pergerakan yang sangat diperlukan ketika berfutsal.

Anda perlu mencari ruang kosong setelah melakukan hantaran kepada rakan sepasukan anda.

Ianya bertujuan supaya dapat memberikan pilihan buat rakan anda untuk melakukan hantaran seterusnya dalam usaha mengembangkan serangan.

6) Lakukan hantaran yang berkualiti dan tepat.

Hantaran yang berkualiti akan melancarkan serangan pasukan anda.

Hantaran yang tepat juga dapat mengelakkan pertahanan lawan dari melakukan ‘intercept’.

Disamping itu, umpanan yang baik juga akan lebih memudahkan rakan untuk menyempurnakan peluang yang terhidang.

7) Berhati-hati ketika melakukan hantaran di kawasan sendiri

Kesilapan hantaran kebiasaannya terjadi akibat mengawal bola terlalu lama di kawasan sendiri dan juga pemain lawan dapat membaca ”passing line” terhadap hantaran yang anda cuba hantarkan kepada rakan.

Perkara ini akan merencatkan usaha menyerang yang dicipta oleh anda dan berkemungkinan sangat berbahaya buat pasukan anda.

8) Bersabar dalam merangka serangan

Satu sifat yang perlu anda tanamkan dalam diri supaya tidak terburu-buru dalam usaha melakukan serangan.

Anda binalah satu rangkaian serangan dengan lebih tenang dan berusaha untuk memecah kepungan lawan.

9) Buat keputusan yang terbaik dan yakin

Buat keputusan terbaik jika dalam situasi anda berpeluang untuk menjaringkan gol, anda perlu yakin untuk menyempurnakan peluang tersebut.

Sekiranya rakan sepasukan anda mempunyai lebih besar peluang untuk menjaringkan gol, jangan berlengah dan hantarkan bola yang baik kepadanya.

10) Tamatkan serangan dengan percubaan yang baik

Segala usaha yang dilakukan ketika menyerang harus diakhiri dengan percubaan yang terbaik.

Gunakan kepakaran dan kualiti yang anda miliki untuk menghasilkan jaringan.

Memiliki rembatan yang padu bakal menjadi salah satu kelebihan buat anda.

Kesimpulan

Satu saat adalah penting ketika menyerang, dalam satu saat kita boleh menjaringkan gol ataupun dinafikan peluang jaringan.

Gerakan serangan perlu dilatih berulang kali bersama rakan sepasukan supaya semua akan dapat memahami peranan dan gerakan masing-masing ketika beraksi.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!