Jaringan tunggal dari pemain antarabangsa Portugal, Bernardo Silva sudah cukup buat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City bagi menumpaskan Chelsea dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad.
Gol yang dihasilkan Silva itu menjelma hanya 33 saat selepas babak kedua bersambung apabila beliau menyempurnakan hantaran lintang yang dilakukan David Silva untuk menggembirakan penyokong tuan rumah.
Langkah Antonio Conte meletakkan Eden Hazard sebagai ‘False 9’ walaupun mempunyai Olivier Giroud dan Alvaro Morata di bangku simpanan seakan-akan memakan diri.
Hal ini terbukti apabila Chelsea langsung tidak berupaya memperoleh sebarang percubaan tepat ke gawang tuan rumah.
Kemenangan ke-25 dalam 29 perlawanan liga itu menjadikan City berkelebihan 18 mata di hadapan pasukan di tempat kedua, Liverpool.
Namun, Manchester United yang berada di tangga ke-3 liga (59 mata) kekurangan satu perlawanan apabila akan bertemu Crystal Palace pagi esok.
Bagi Chelsea pula, mereka semakin dirundung malang apabila ditinggalkan lima mata oleh Tottenham Hotspur yang berada di tangga ke-4 liga.
Kekalahan ini juga merupakan yang ke-4 daripada lima perlawanan liga terakhir buat skuad bimbingan Antonio Conte itu.
https://youtu.be/xWc-sAvvitU?t=1m