Pasukan Vietnam atau pun lebih dikenali sebagai skuad Naga Emas sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang begitu kompak di bahagian pertahanan.
Sejak dikendalikan oleh jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo, Vietnam berjaya membina sebuah skuad yang penuh berdisiplin sebagai satu unit – baik ketika bertahan dan juga menyerang.
Falsafah bola sepak yang dibawa oleh ‘Master Park’ berjaya menjadikan Vietnam bukan sahaja disegani di rantau ini, tetapi juga di peringkat benua Asia.
Pemain-pemain mereka juga dikenali dengan kepantasan, corak permainan Vietnam juga dianggap mampu memerangkap mana-mana lawan dengan kebijaksaan taktikal yang sukar dijangka.
Maka tidak hairanlah mengapa sepanjang empat perlawanan peringkat kumpulan yang diharungi setakat ini, Vietnam menjadi satu-satunya pasukan yang belum dibolosi di pertandingan Piala AFF 2020.
Thailand punyai jawapan
Ketika artikel ini sedang ditulis, babak kedua separuh akhir di antara Vietnam dan Thailand sedang berlangsung. Seperti dijangka, perlawanan di antara kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan intensiti tinggi.
Tatkala pasukan lain seperti Malaysia dan Indonesia gagal membocori gawang Vietnam, Thailand dengan mudah menjaringkan dua gol hanya selepas 23 minit babak pertama berlangsung.
Gol pertama Thailand adalah hasil serangan balas pantas, dan dibantu oleh kesilapan pemain pertahanan Vietnam sehingga membenarkan Chanatip Songkrasin menewaskan penjaga gol,
A string of passes ➡️the skipper who calmly places it low in bottom corner 😍#AFFSuzukiCup2020 | #RivalriesNeverDie | #VIEvTHA pic.twitter.com/YSjRNowpy5
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 23, 2021
Gol kedua Thailand, juga jaringan Chanatip bagaimanapun cukup menarik perhatian. Bermula daripada satu hantaran dari bahagian pertahanan, gerakan satu-dua melibatkan tiga pemain selepas itu berjaya memerangkap benteng pertahanan Vietnam untuk gol kedua Thailand.
Memiliki susuk badan yang kecil, maka tidak hairanlah mengapa Chanatip digelar ‘Messi of Thailand’. Kebetulan atau tidak gerakan untuk gol kedua itu persis gerakan ‘tiki-taka’ yang pernah dipopularkan oleh generasi emas Barcelona suatu ketika dahulu.