Bola sepak adalah sukan yang sering mengujakan setiap pencintanya.
Ia bukan sekadar sejenis bidang sukan yang dimainkan dengan gerakan cantik, menuntut kerahan fizikal, pertaruhan kebijaksanaan taktikal dan kebolehan teknikal di atas padang.
Bola sepak sukan penuh emosi
Lebih daripada itu, ia turut melibatkan emosi dari lubuk terdalam bagi mereka yang mengikutinya.
Baik sebagai pemain dan penyokong, anda akan melalui ujian emosi setiap kali pasukan anda menang, ataupun kalah.
Apakah perkara paling pelik yang anda pernah lakukan ketika meraikan kemenangan pasukan kesayangan anda?
Menjerit dan melompat kegembiraan? Atau melakuan ‘chant’ di jalanan bersama rakan-rakan yang lain?
Setiap daripada kita mempunyai pengalaman yang berbeza. Dan kami yakin, baik pemain atau pun penyokong setiap daripada kita mempunyai cara tersendiri untuk melakukannya.
Selangor vs KL
Perlawanan derbi Lembah Klang dalam perlawanan peringkat suku akhir Shopee Piala FA yang berlangsung pada malam tadi adalah salah satu perlawanan yang paling mendebarkan.
Apa tidaknya. Pemenang perlawanan tersebut terpaksa ditentukan melalui penentuan sepakan penalti setelah skuad warga kota memadam kelebihan 3 gol yang diperolehi oleh Selangor di perlawanan pusingan pertama.
Baik anda di pihak Kuala Lumpur, ataupun Selangor, pasti ada yang mengurut dada jika menyaksikan perlawanan tersebut melalui rangkaian penstriman iflix ataupun jika anda berada di stadium.
Seperti burung gagak pulang ke benua
Berdasarkan senarai pemain yang kami perolehi sebelum perlawanan tersebut, antara nama yang tidak berada di dalam senarai skuad The Red Giants ialah Amri Yahyah.
Usah kita persoal rasa cinta dan sayang Amri terhadap pasukan Selangor.
Pemain serba boleh (versatile) kerana mampu beraksi di pelbagai posisi di bahagian tengah dan serangan adalah anak jati negeri Selangor.
Berasal dari Tanjung Karang, Amri mulai beraksi bersama Selangor pada 2001, dan merupakan wira perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 buat skuad Merah Kuning dengan gol tunggal perlawanan.
Turut membantu Selangor meraih treble pada 2005, Amri kemudiannya beralih angin ke Johor bersama JDT, sebelum menyertai Melaka United pada awal musim lalu.
Seperti burung gagak pulang ke benua, Amri kembali menyertai Selangor pada jendela perpindahan tengah musim pada 2017, dan terus membuktikan keringat beliau masih berbisa walaupun sudah berusia 37 tahun.
Tidak beraksi
Setelah dilayangkan kad kuning ketika membantu Selangor menewaskan Kuala Lumpur di aksi pusingan pertama suku akhir Piala FA, Amri sah tidak boleh beraksi untuk perlawanan timbal balik di venue yang sama ini.
Oleh itu, Amri mungkin hanya menyaksikan perlawanan tersebut dari kediamannya melalui kaca televisyen.
Siapa yang tidak berdebar menyaksikan perlawanan pada malam tadi. Apatah lagi buat Amri Yahyah.
Kami kongsikan gelagat Amri meraikan kemaraan Selangor ke separuh akhir Shopee Piala FA 2018.
Peluk TV? Pernahkah anda menjadi seperti Amri?