Semua pemain mahukan peluang beraksi di bawah kendalian Pep Guardiola kecuali Yaya Toure dan Zlatan Ibrahimovich yang mempunyai pandangan berbeza mengenai pengendali kelahiran Catalan itu.
Semalam sebuah treler berjudul ‘All Or Nothing: Manchester City’, mulai disiarkan untuk tujuan promosi dokumentari yang akan menemui peminat pada 17 Ogos hadapan.
Berdurasi 1 minit 45 saat, sebahagian treler berkenaan memaparkan bagaimana Guardiola meniupkan semangat kepada barisan pemainnya ketika dalam misi mengejar kejuaraaan EPL pada musim lalu.
“Kita semakin hampir, kita semakin hampir,” jerit Guardiola kepada pemainnya sebelum dunia menyaksikan kelab Manchester itu mencipta sejarah dengan menjuarai EPL dengan jumlah mata dan jaringan tertinggi yang pernah dihasilkan sepanjang 25 tahun pertandingan.
Klip treler tersebut turut menyiarkan bagaimana Gabriel Jesus yang kecewa akibat kecederaan lutut yang dialaminya, dan bagaimana Benjamin Mendy berjuang untuk kembali pulih untuk cergas sepenuhnya.
Turut disiarkan ialah babak bagaimana skuad Manchester City meraikan kejuaraan liga mereka, dan juga bagaimana reaksi pasukan itu ketika tewas kepada lawan pada musim lalu.
Kisah pemain bintang seperti Kevin de Bruyne dan Sergio Ramos turut diselitkan di dalam dokumentari ini.
Dokumentari ini dihasilkan oleh Amazon Prime Original dan menelan belanja sekitar £10 juta sepanjang proses pembikinan.
Krew rakaman Amazon turut mengikuti skuad ke semua venue perlawanan di seluruh dunia untuk tidak terlepas setiap detik penting pasukan ini sepanjang musim lalu.
Bagaimanapun tiada insiden pergaduhan yang berlaku di Old Trafford diselitkan, selepas krew Amazon tidak mendapat kelulusan dari pihak Manchester United untuk melakukan rakaman.
Dihasilkan di dalam lapan episod, dengan setiap episod akan ke udara selama sejam, anda hanya boleh menonton dokumentari ini mulai 17 Ogos di Amazon Prime secara penstriman buat masa ini.
Menyaksikan trelernya sahaja, sudah cukup menjelaskan mengapa semua pemain terbaik dunia mahu beraksi di bawah kendalian Pep Guardiola.