Risto Vidakovic yang baharu saja dilantik selaku pengendali Melaka United musim ini menyatakan masih terlalu awal buat diri beliau untuk menilai prestasi anak buahnya menerusi perlawanan persahabatan pertama yang dikendalikannya rabu lalu sepanjang menjalankan tugas minggu ini.
Beliau juga mengakui masih lagi dalam fasa untuk mengenali setiap pemain dan perlu memastikan mereka bersedia dengan baik menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga-M) tidak lama sahaja lagi iaitu 4 Mac depan.
Vidakovic juga berkata masih banyak perlu diperbaiki anak buahnya berdasarkan perlawanan persahabatan baru ini menentang Selangor II dengan mengakui barisan pemain masih sukar untuk menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan yang dibuat dari segi taktikal dan formasi.
“Bagi saya, ia adalah normal untuk permulaan seperti ini sebab pemain perlu sedikit masa untuk sesuaikan diri dengan beberapa perkara yang perlu diubah dan tak semuanya akan lancar pada awalnya.
“Jadi, agak sukar untuk saya beri pendapat mengenai pemain-pemain ketika ini dan hari ini (Rabu) hanyalah perlawanan persahabatan.
“Mereka perlu teruskan usaha keras disebalik kekalahan kepada Selangor II dan keputusan ini tidak penting sebab yang paling utama adalah bagaimana mereka bekerja keras dalam latihan, dan ini hanyalah permulaan untuk pemain-pemain perbaiki prestasi mereka”, jelasnya kepada Harian Metro.
Dalam ketika itu, pengendali berusia 53 tahun itu juga melahirkan rasa teruja untuk menyaksikan gandingan dua penyerang import yang menyerlah pada musim lalu iaitu Ifedayo Olusegun dan Sonny Norde di atas padang apabila dijangka mampu memberi impak besar buat pasukan Melaka United musim ini.
Walaupun begitu, Vidakovic tetap mengharapkan para pemain lain memberi sentuhan yang terbaik buat pasukan di segenap posisi untuk memudahkan perjalanan skuad yang bakal mengharungi lawan-lawan lain yang juga telah membuat persediaan rapi.
“Mengenai sasaran, saya sendiri ingin pemain fokus satu demi satu perlawanan terlebih dahulu dan saya harap mereka akan lebih bersedia untuk perlawanan pertama liga nanti”, tambahnya.
Sebelum itu, Vidakovic yang berasal dari Bosnia Herzegovina telah dilantik menjadi pengendali baharu Melaka United bagi menggantikan khidmat Zainal Abidin Hassan.
Mengikut rekod terdahulu, Vidakovic pernah menggalas jawatan tersebut di Eropah dan Asia bersama banyak kelab berbeza selain pernah menjadi penolong jurulatih bagi membimbing skuad kebangsaan Serbia pada tahun 2006 dan 2007.