SMJ Cup Jadi Medan Terbaik Uji Kemampuan Sabah

Kemampuan Sabah bakal teruji sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula dengan menjadikan kejohanan bola sepak pra musim Piala Sabah Maju Jaya sebagai medan untuk melihat kemampuan skuad ini bersaing bermula hari ini hingga 18 Februari.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini bakal berdepan dengan saingan dua pasukan yang beraksi di Liga Super iaitu Kedah Darul Aman serta Sarawak United selain cabaran daripada Kelantan yang beraksi di Liga Perdana.

Scott Ollerenshaw selaku Pengarah Teknikal Sabah menyifatkan kejohanan tersebut merupakan medium terbaik bagi menguji kemampuan penuh skuad selain sebagai satu langkah proaktif yang berjaya dibuat skuad ini untuk menjimatkan kos.

Tambah beliau, menerusi kejohanan tersebut maka skuad Sang Badak tidak perlu ke serata negeri atau luar negara yang pastinya menelan kos tinggi, selain Ollerenshaw juga berharap kejohanan tersebut dapat dijadikan sebagai acara tahunan dengan menampilkan kelab hebat di negara ini.

“Sudah pasti kita mengharapkan kejohanan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meningkatkan industri sukan pelancongan di Sabah yang cukup terkenal dengan pelbagai destinasi menarik.

“Selain itu juga kita mahu memberi peluang kepada peminat bola sepak di Sabah menyaksikan lebih dekat penampilan dan kemampuan pemain Sabah FC dalam pra musim ini,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau juga berkata mengenai pentingnya kejohanan itu untuk melihat keserasian para pemain Sabah dan langkah terbaik sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini yang bakal berlangsung bulan depan.

Pada masa sama, Rydwan Soeharto selaku Pegawai Perlesenan Kelab Sabah berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai aspek keselamatan dan kesihatan awam agar sejajar dengan perkembangan semasa pandemik Covid-19 yang menunjukkan peningkatan di Sabah.

Jelas beliau, setakat ini Sabah masih menunggu mengenai maklumat atau garis panduan baharu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bakal dikuatkuasa dan ditetapkan sepanjang berlangsungnya kejohanan.

“Kita sudah memohon dan meminta kebenaran daripada MKN Sabah dan mereka sudah meluluskan untuk kita menganjurkan pertandingan namun bersyarat. Kehadiran penonton ketika ini ditetapkan seramai 5,500 orang,” katanya.

Orang ramai juga boleh membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan itu di laman sesawang www.tickethotline.com.my dan sebarang persoalan berkaitan pembelian tiket boleh diajukan kepada @ticket.hotline.

Tirai perlawanan bakal dibuka petang ini dengan menyaksikan perlawanan pertama membabitkan Kedah menentang Sarawak United pada jam 4:15 petang, dan perlawanan seterusnya menyaksikan pertemuan antara Sabah menentang Kelantan pada jam 9 malam ini pada hari yang sama.

Selepas itu, perlawanan pada hari Rabu yang dijadualkan pula menyaksikan perlawanan antara Kedah menentang Kelantan pada jam 4:15 petang dan Sabah pula berdepan Sarawak United pada jam 9 malam.

Pada 18 Februari menyaksikan perlawanan terakhir kejohanan tersebut yang menyaksikan pertemuan Sabah menentang Kedah pada jam 9 malam selain Kelantan menentang Sarawak United sebelum itu pada jam 4:15 malam.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN