Pemain pertahanan Manchester United, Victor Lindelof telah menandatangan kontrak baru yang mengikatnya sehingga 2024 dengan pilihan sambungan setahun.
Pemain antarabangsa Sweden itu telah pun merekodkan 74 penampilan dalam semua pertandingan sejak menyertai kelab England tersebut dari Benfica dengan nilai perpindahan £31 juta pada Jun 2017.
“Sejak hari pertama tiba di sini, saya sudah rasa seperti berada di rumah sendiri. Dua tahun di sini, saya dapat merasakan perkembangan saya sebagai pemain.”
Musim ini Lindelof menjadi pemain tetap dalam semua perlawanan The Red Devils. Beliau membentuk gandingan baru di barisan pertahanan bersama pemain sensasi baharu bernilai £80 juta, Harry Maguire.
Persetujuan pemain berusia 25 tahun itu menurunkan tandatangannya menjadikan beliau pemain kedua selepas David De Gea yang juga telah melanjutkan kontrak baru pada Isnin lepas.
“Saya tahu semua orang di kelab ini berkongsi matlamat yang sama dan sanggup berikan apa sahaja untuk memastikan kegemilangan Manchester United kembali semula.” kata Lindelof.
“Usia saya masih muda dan tahu saya boleh pertingkatkan lagi kemahiran saya tetapi dengan bantuan pengurus dan staf kejurulatihan. Saya yakin nilai positif sentiasa mengiringi kelab yang hebat ini.”
Pengurus United, Ole Gunnar Solksjaer berkata,
“Victor telah mengukuhkan kedudukannya di sini dan telah menjadi bahagian yang penting dalam pasukan kami. Ketenangannya di atas padang dan kesungguhannnya untuk berjaya di kelab ini diharapkan membawa lebih banyak kejayaan.
“Saya benar-benar gembira apabila dia berjanji untuk komited terhadap masa depannya di Manchester United.
“Kami semua akan terus maju kehadapan dengan bekerjasama bagi meraih kejayaan dan meletakkan semula United di tempat yang selayaknya bagi kelab ini.”