Victor Andrag Yakin Kedah Masih Mampu Cabar Kedudukan ‘Top 2’ Liga Super

Victor Andrag Kedah

Kedah telah melalui dua perlawanan dengan keputusan seri dan ini mengganggu rentak mereka untuk mengejar kedudukan kedua Liga Super yang kini dipegang oleh Pahang sejak minggu ke-8.

Terbaru, Helang Merah berjaya diikat oleh Terengganu FC dengan keputusan 2-2 di Kuala Terengganu dan itu merupakan keputusan seri ke-7 mereka untuk musim ini – rekod kedua terbanyak.

Berbaki dua perlawanan, walaupun tipis, Kedah masih berpeluang untuk memintas kedudukan Pahang dengan syarat pesaingnya itu berterusan keciciran mata. Pahang masih berbaki 3 perlawanan.

Ketika ditanya dalam sidang media sejurus perlawanan berakhir, penolong jurulatih Kedah, Victor Andrag masih optimis dengan peluang mereka untuk meraih kedudukan kedua liga.

“Masih ada ruang untuk kedudukan kedua terbaik, masih terbuka (persaingan). Kita akan cuba beri yang terbaik yang kita mampu lakukan,” ujarnya yang mengambil alih sementara tugas Aidil Sharin yang berada di ibu negara untuk kursus kejurulatihan.

Mahu tidak mahu, Kedah perlu fokus untuk menang dalam dua perlawanan terakhir menentang Perak dan FELDA United.

Mengulas mengenai aksi menentang Terengganu FC, Victor Andrag menjelaskan yang sukar buatnya untuk menerima keputusan tersebut sambil berterima kasih kepada barisan pemainnya.

“Sukar untuk diterima. Apapun saya harus berterima kasih kepada semua pemain kerana memperagakan aksi terbaik walaupun kekurangan seorang pemain pada 20 minit terakhir perlawanan.

“Kita cuba bertahan untuk lakukan dengan sebaik mungkin untuk mengekalkan jumlah jaringan 2-1 hingga masa kecederaan, tapi apa boleh buat, inilah bola sepak, sebelum lawan berjaya menyamakan kedudukan 2-2 hingga tamat permainan,” ujarnya.

Sang Penyu berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan menerusi Tchetche Kipre. Sebelum itu, Helang Merah mendahului aksi untuk hampir 45 minit selepas Baddrol Bakhtiar meledak gol kedua pelawat pada penghujung babak pertama.

Pelawat terlebih dahulu mendahului aksi dengan gol daripada Shakir Hamzah pada minit ke-3 perlawanan sebelum muncul Sanjar Shaakhmedov untuk mengikat kedudukan di minit ke-32.

Berdepan Terengganu FC, Kedah sudah kehilangan khidmat tiga pemain iaitu penjaga gawang, Ifwat Akmal, Rizal Ghazali dan Jonatan Bauman sebelum Azamuddin Akil pula tercedera di babak pertama dan kemudian Azmeer Yusof dilayangkan kad merah.

Kredit Featured Image: NSTP/Rozainah Zakaria

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN