Quantcast

LIGA MALAYSIA

Mohamad Nik: Kekalkan ‘Pattern Of Play’ Dan Penguasaan Bola, Strategi Berkesan Terengganu FC

Penolong jurulatih Terengganu FC, Mohamad Nik menyatakan di sidang media yang barisan kejurulatihan telah merancang strategi terbaik ketika berjaya mengikat Kedah dengan keputusan seri dalam aksi minggu ke-19 Liga Super Malaysia (MSL) 2019.

Beliau percaya kunci kejayaan mengikat lawan dengan keputusan 2-2 di Kuala Terengganu pada aksi minggu ini adalah strategi yang berkesan biarpun mereka gagal untuk mengutip mata penuh.

“Kita kekalkan pattern of play pasukan kita, kita tidak mahu terlalu cepat hilang penguasaan bola dan juga memanfaatkan setiap peluang untuk ke depan,” jelasnya kepada pihak media.

“Ya, kita memang sudah rancang. Macam Mohamad Rahmat, inilah perlawanan pertamanya dalam Liga Super tetapi kita bagi peluang padanya. Babak kedua, memang kita rancang untuk tukar Thierry (Bin) kerana kita tahu pergerakan Thierry terlalu perlahanan.

“Memang kita mahu teruskan momentum kemenangan tetapi itulah bola sepak. Mungkin, rezeki tidak berpihak kepada kita. Tetapi, Alhamdulillah kita dapat satu mata,” tambahnya lagi.

Kedah mendahului perlawanan di minit ke-3 menerusi Shakir Hamzah. Terengganu FC bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi jaringan Sanjar Shaakhmedov sebelum Baddrol Bakhtiar meledak gol kedua buat pelawat di minit ke-45.

Gol penting Sang Penyu hadir di minit ke-90 menerusi jaringan penyerang, Tchetche Kipre. Kemudian, pelawat terpaksa beraksi sepanjang lebih 20 minit apabila pertahanan, Azmeer Yusof diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.

Ketika diminta mengulas mengenai prestasi kedua-dua penjaring pada malam ini serta kejayaan Sanjar Shaakhmedov untuk meledak gol ke-7 berbanding Tchetche Kipre yang telah berkurang musim ini, Mohamad Nik tidak mahu membandingkan kedua-duanya.

“Saya tidak boleh bandingkan mereka berdua. Dari segi peluang, kedua-duanya mendapat peluang tetapi rezeki tidak berpihak kepada Kipre berbanding Sanjar. Saya berpuas hati dengan prestasi semua pemain termasuk Sanjar dan Kipre,” terangnya lagi.

Bercakap mengenai prestasi pemain sayap muda, Rahmat Makasuf, Mohamad Nik percaya dia mampu berkembang dan perkara biasa untuk berasa gemuruh beraksi dalam perlawanan pertama.

Terengganu FC kini berada di kedudukan ke-6 liga dengan 28 mata dipisahkan hanya 3 mata berbanding pasukan di kedudukan ke-4 dan ke-5 iaitu Kedah dan Selangor serta 4 mata dibelakang Melaka United yang berada di kedudukan ketiga Liga Super.

Kredit Featured Image: BERNAMA