Video Assistant Referees (VAR) akan mula diperkenalkan di saingan Liga Perdana Inggeris mulai musim hadapan. Cadangan itu dipersetujui selepas secara dasarnya ia menerima persetujuan kelab-kelab yang bertanding.
Untuk tujuan itu, Premier League akan menghantar permohonan rasmi kepada FIFA sebelum ianya diimplementasikan.
Masih terhad
VAR sebelum ini digunakan secara meluas di kejohanan Piala Dunia 2018 yang diadakan di Rusia pada musim panas lalu. Bagi saingan domestik di Eropah, Itali dan Jerman adalah antara di mana VAR diimplementasikan.
Di bola sepak Inggeris penggunaan sistem VAR sebelum ini hanya terhad kepada perlawanan-perlawanan tertentu Piala FA dan juga Piala Carabao.
VAR juga akan mula dilaksanakan di pertandingan UEFA Champions League mulai musim hadapan.
Sudah sampai masanya
Keputusan menggunakan VAR di saingan Liga Perdana Inggeris adalah bertentangan dengan kehendak kelab pada musim lalu. Pada April, majoriti kelab Liga Perdana Inggeris mengundi untuk tidak menggunakan sistem tersebut.
Namun pada Sabtu lalu, jaringan penyerang Southampton, Charlie Austin dalam perlawanan menentang Watford telah dibatalkan pengadil kerana dikatakan offside. Pemain itu menganggap keputusan tersebut sebagai satu jenaka.
Pengurus The Saints, Mark Hughes turut menganggap bola sepak masih berada di belakang berbanding dengan sukan lain yang sudah menggunakan bantuan video untuk membuat keputusan penting.
Charlie Austin.
Not a happy man… pic.twitter.com/XSfbMCitFG
— BBC Sport (@BBCSport) November 10, 2018
Kekal ujian
Bagi musim 2018/19 ini sebenarnya sistem VAR sudah pun berada di peringkat ujian di Liga Perdana Inggeris. Namun ujian tersebut bukan digunakan ketika perlawanan sedang berlangsung.
Kenyataan dari Premier League berkata VAR akan tetap diteruskan di peringkat ujian dalam semua perlawanan Liga Perdana Inggeris pada musim ini.
Premier League turut berkata semua kelab telah dimaklumkan mengenai perkembangan baru ini dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.