Semua orang sukakan cuti. Begitu juga dengan pemain bola sepak. Di kem Barcelona, Ernesto Valverde memberikan cuti seminggu kepada semua pemain yang tidak terlibat di dalam tugasan antarabangsa. Cuti itu diumumkan sebaik sahaja tamat perlawanan menentang Real Betis.
Valverde kemudian memberitahu para staf kejurulatihan beliau untuk sentiasa bersedia di pusat latihan. Ini kerana beberapa pemain mungkin akan muncul untuk melakukan latihan ekstra. Perkara itu sudah biasa di Eropah. Para staf kejurulatihan akan siap siaga untuk membantu para pemain yang mahu melakukan latihan tambahan.
Namun malangnya, Valverde menghubungi para staf beliau dan mendapati – tiada seorang pun daripada pemain-pemain ini yang melakukan latihan tambahan terutama sekali mereka yang bergelut dengan prestasi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Valverde faham pemain seperti Rafinha, Luis Suarez dan Ousmane Dembele perlukan rehat itu kerana mereka cedera. Lagipun Suarez dan Dembele merupakan pemain yang kerap mendapat tempat dalam skuad utama Barcelona musim ini.
Pique dan Lenglet pula dilaporkan sudah memaklumkan kepada Valverde bahawa mereka ada sedikit urusan untuk diselesaikan pada cuti ini.
Namun Valverde menyindir pemain seperti Malcom dan Kevin Prince Boateng yang tidak memanfaatkan masa yang ada untuk melakukan latihan tambahan. Inilah peluang mereka untuk berlatih dengan perhatian lebih terperinci daripada jurulatih.
Valverde meyifatkan ianya perkara yang sukar dihadam. Mungkin 2 pemain itu tidak faham dengan budaya persaingan dalam kelab seperti Barcelona.
Sebenarnya, perkara seperti ini lebih kepada tanggungjawab peribadi, seorang pemain profesional untuk diri mereka dan juga kepada kelab.
Pemain-pemain berkelas dunia ataupun terbaik biasanya dibezakan dengan pemain lain kerana komitmen mereka untuk melakukan latihan tambahan, sama ada di pusat latihan kelab ataupun di rumah mereka.