Quantcast

BERITA

Keraian Tidak Senonoh, UEFA Tidak Akan Gantung Cristiano Ronaldo

Sebelum ini pihak Atletico Madrid mempertikaikan sikap Uefa yang dilihat tutup mata ke atas keraian Cristiano Ronaldo yang mengajuk keraian oleh Diego Simeone.

Simeone pernah didenda kerana keraian tersebut yang disifatkan oleh Uefa sebagai tidak senonoh untuk dipertontonkan kepada umum. Simeone kemudian meminta maaf di atas kesilapan beliau.

Simeone menganggap tindakan itu di luar kawalan kerana terlalu girang dengan kemenangan ke atas Juventus pada perlawanan yang berlangsung di Wanda Metropolitano.

Dalam aksi kebangkitan Juventus ke atas Atletico Madrid di Turin, legenda Real Madrid itu jelas masih mengalir darah perseteruan Madrid dalam dirinya. Ronaldo dengan girang mengajuk keraian Simeone tersebut ketika meraikan hatrik beliau.

Ramai pihak mendesak Uefa untuk mengenakan tindakan ke atas Ronaldo. Tidak kurang juga merasakan Cristiano Ronaldo patut digantung di atas keraian itu.

Namun begitu Uefa tidak mengenakan penggantungan ke atas Cristiano Ronaldo, sebaliknya beliau hanya dikenakan denda sebanyak £17,700 (RM90,374.00).

Ronaldo dikenakan tindakan berdasarkan Artikel 11 (2) (b) dan Artikel 11 (2) (d) Regulasi Disiplin UEFA.

Uefa dalam kenyataan mereka berkata: “CEDB memutuskan untuk mendenda pemain Juventus, Cristiano Ronaldo sebanyak €20,000 (£17,700) kerana kelakuan tidak senonoh.”

Simeone sebelum ini didenda dnegan jumlah yang sama di atas keraian yang sama. Keraian yang digelar ‘cojones’.

Juventus mara ke suku akhir dan diundi menentang Ajax.