Juan Carlos Valeron, satu nama yang mungkin tidak begitu dikenali berbanding Ronaldinho, David Beckham dan juga Micheal Ballack di kancah bola sepak dunia pada satu ketika.
Bagi yang mengikuti perkembangan pasukan Deportivo La Coruna bermula tahun 2000 pasti akan mengenali siapakah gerangan pemain tengah yang memakai jersi bernombor 21 tersebut.
Kebolehan teknikal individu, kawalan bola dan kualiti hantaran yang dimiliki Valeron jelas mempesonakan.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau merupakan antara nadi utama buat Deportivo ketika kelab tersebut menjadi pesaing kejuaraan La Liga sekitar tahun 2000 hingga 2004.
Karier Juan Carlos Valeron sebelum ke Deportivo La Coruna
Valeron yang kini berusia 43 tahun memulakan karier profesional bersama Las Palmas, kelab yang tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan utama.
Pada tahun 1997, beliau memilih untuk berkelana ke Real Mallorca dan berjaya membantu kelab tersebut menduduki tangga kelima La Liga serta menjadi naib juara Copa Del Rey.
Aksinya berjaya mencuri tumpuan Atletico Madrid untuk membawanya ke kota Madrid.
Perpindahan ke kelab Madrid tersebut bukanlah perjalanan yang diimpikannya apabila Atletico hanya menamatkan saingan musim 1998/99 di tempat ke-12.
Lebih malang pada tahun berikutnya, mereka tersingkir ke Liga Segunda buat pertama kali sejak 60 tahun.
Deportivo destinasi yang tepat buat Valeron
Pengurus Deportivo La Coruna pada ketika itu (musim 2000/01), Javier Irureta bertanggungjawab bagi membawa masuk Valeron ke Estadio Riazor bersama-sama Jorge Francisco Molina dan Joan Capdevilla yang turut direkrut dari Atletico Madrid.
Walaupun tidak banyak kejuaraan diraih Valeron sepanjang karier bersama Deportivo La Coruna tetapi sumbangannya akan sentiasa diingati sehingga ke hari ini.
Laman web rasmi kelab juga turut meletakkan nama Valeron sebaris dengan legenda kelab yang lain seperti Roy Makaay, Diego Tristan dan ramai lagi.
Kehadiran Valeron bagi memperkuatkan jentera tengah Deportivo ternyata lebih memudahkan tugas di bahagian serangan yang digalas Roy Makaay dan Diego Tristan bagi menggempur gawang lawan.
Perkara itu terserlah selepas Diego Tristan meraih gelaran penjaring terbanyak pada musim 2001/2002 dengan 21 gol manakala giliran Roy Makaay menikmatinya pada musim berikutnya apabila menyumbat 29 jaringan.
Makaay dalam satu temubual yang dikeluarkan Sky Sports turut memuji rakan sepasukannya ketika Deportivo menewaskan Bayern Munich 3-2 pada September 2002.
”Juan Carlos merupakan pemain yang luar biasa dan ini adalah permulaan musim kami berhubung baik dari sebelum ini.”
”Saya mesti berterima kasih kepadanya kerana dia akan melakukannya dan meminta bola kepadanya supaya dia terus melakukannya, walaupun saya tidaklah terlalu obses untuk meletakkan jumlah gol dalam satu musim.”
Kecederaan sering menghantui diri
Karier sebagai pemain bola sepak dan sukan-sukan lain sememangnya tidak akan dapat lari dengan masalah kecederaan.
Nasib kurang bernasib baik buat beliau apabila mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada perlawanan bertemu Real Mallorca (22 Januari 2006) di laman sendiri,
Keadaan yang memaksa Valeron menghadapi tiga pembedahan dalam masa dua tahun dan tidak dapat beraksi hampir tiga tahun.
Kecederaan yang begitu menakutkan semua atlit seluruh dunia itu juga telah menghalangnya untuk menyertai skuad juara Sepanyol dalam saingan Piala Eropah 2008.
Kembali ke Las Palmas
Walaupun dibayangi kecederaan dalam tempoh masa panjang yang dihadapinya, Valeron membuktikan kecekalan beliau untuk bertahan lama dalam bola sepak profesional.
Selepas menikmati turun naik prestasi Deportivo La Coruna dalam kancah bola sepak Sepanyol, Valeron mengambil keputusan untuk kembali ke kelab tempat kelahirannya, Las Palmas.
Keputusan sukar itu dibuat selepas Valeron ‘menghambakan’ dirinya selama 13 tahun di Deportivo.
Dua musim bersama Las Palmas, beliau berjaya membantu kelab tersebut kembali beraksi di saingan La Liga 2015/16.
Pada 6 Mei 2016, Valeron akhirnya mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 40 tahun.
Bersama skuad kebangsaan Sepanyol
Di pentas antarabangsa, Juan Carlos Valeron telah membuat penampilan hampir 50 kaps bersama pasukan Sepanyol dan menganggotai skuad Piala Dunia 2002 dan Piala Eropah 2000 serta 2004.
Beliau membuat penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan Sepanyol pada Mac 2005.