Skuad kebangsaan bawah 17 (B-17) dilaporkan bakal menghadapi dua pasukan gergasi Asia iaitu Uzbekistan serta Arab Saudi sebagai medan persiapan sebelum saingan Piala Asia bermula.
Sebelum itu, skuad B-17 negara telah pun menjalani enam aksi persahabatan di Qatar serta mempamerkan keputusan perlawanan yang cukup baik untuk mendapat pujian para penyokong bola sepak Malaysia.
Skuad Harimau Malaya B-17 kendalian Osmera Omaro turun beraksi dalam perlawanan persahabatan kelima di Doha, Qatar bertemu Al Duhail SC B-19, malam tadi dengan mencatat kemenangan 1-0.
▶️ Baca penuh & lagi gambar di https://t.co/CikqttEYxs#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/9xFroylTvi
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 19, 2023
Daripada enam perlawanan dihadapi Malaysia, skuad kendalian Osmera Omaro berjaya merekodkan lima kemenangan berturut-turut serta hanya sekali tewas pada aksi terakhir.
Statistik gol yang dihasilkan skuad pembangunan negara ini juga memberansangkan menerusi 21 jaringan dilakar serta hanya dibolosi empat kali sahaja walau beraksi pada bulan Ramadan.
Pastinya momentum positif ini ingin diteruskan mereka supaya pasukan tersebut mampu memberi reaksi positif ketika saingan itu berlangsung serta menghidupkan peluang mengintai slot ke Piala Dunia.
Untuk pertemuan menghadapi dua negara tersebut, Malaysia dijangka bakal mengadakan aksi persahabatan itu di Kuala Lumpur sebelum mereka berlepas ke Bangkok, Thailand.
Kenyataan itu disahkan sendiri menerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Hamidin Amin dengan berharap kekuatan skuad kebangsaan dapat bertambah menerusi dua perlawanan persahabatan tersebut.
Selain mampu meningkatkan momentum skuad kebangsaan ke arah lebih baik, Hamidin juga turut menyimpan harapan supaya Malaysia B-17 juga mampu menempah slot ke saingan Piala Dunia pada hujung tahun ini.
“Kalau ada rezeki…kita kerja kuat sama-sama, kita doa pasukan ini (B-17 negara) ada peluang untuk pergi ke Piala Dunia, dan ini menjadi satu sejarah kalau Malaysia masuk.
“Selepas itu pasukan ini (ketika ini skuad B-17 berada di Qatar) akan balik menentang Arab Saudi di sini dalam aksi persahabatan, dan juga Uzbekistan yang berminat, dan banyak juga pasukan datang ke sini dulu sebelum pergi ke Bangkok. Lepas itu mereka akan ke Bangkok pada bulan Jun,” katanya menerusi petikan Harian Metro.
Skuad Harimau Malaya B-17 kendalian Osmera Omaro telah menamatkan kem latihan intensif di Doha, Qatar selama dua minggu yang bermula sejak 10 April 2023.
Skuad B-17 kebangsaan itu tewas 1-0 kepada Akademi Aspire B-17 pada aksi terakhir, malam tadi.#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/uSlpMeJZ4h
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 19, 2023
Untuk sasaran yang diletakkan kepada skuad kendalian Osmera Omaro pada saingan ini, Malaysia perlu layak ke separuh akhir jika ingin menempah salah satu slot ke Piala Dunia.
Bagi aksi Piala Asia yang akan berlangsung tidak lama lagi, Malaysia telah diletakkan dalam Kumpulan A bersama Thailand, Yemen, serta Laos.