Dimalukan Newcastle Semahunya, Apa Yang Sedang Berlaku Di Tottenham?

Tottenham Hotspur Newcastle apa yang telah berlaku

Tottenham Hotspur tewas 1-6 kepada Newcastle, satu kisah tragis buat kenang-kenangan para penyokong selepas pemecatan Antonio Conte, menimbulkan persoalan, apa yang sedang berlaku di Spurs saat ini?

Biarpun mereka tidaklah sehingga berada di dasar Premier League, tetapi prestasi dan persembahan mereka mempamerkan yang mereka tidak akan memenangi apa-apa kejuaraan walaupun kerap salin pengurus pasukan.

Jika mereka mahu kekal begini, mereka boleh tukar pengurus pasukan – lebih banyak pengurus pasukan, tetapi situasi pasukan tidak akan berubah. Percayalah cakap saya,” ungkap bekas pengurus, Antonio Conte.

Conte: Inilah kisah Tottenham

Hampir sebulan beliau telah ditunjukkan pintu keluar, Tottenham masih kekal dengan permainan yang sama. Malah, kekalahan besar kepada Newcastle memberi indikasi yang kata-kata Conte adalah benar.

Mauricio Pochettino salah, Jose Mourinho salah, Conte salah dan hanya Daniel Levy betul. Ini yang sedang bermain di fikiran penyokong Spurs.

Levy sudah 22 tahun bersama mereka sejak 2001 menjadikannya sebagai pemilik paling lama berkhidmat bersama pasukan di Premier League.

Conte ada ‘menembak’ Levy dalam sidang media beberapa hari sebelum beliau dipecat. Ia boleh dikatakan yang pengurus itu sudah tidak mampu menahan lagi amarahnya dengan apa yang sedang berlaku di kelabnya.

Inilah kisah Tottenham. 20 tahun dengan pemilik yang sama, mereka tidak menang apa-apa kejuaraan,” ungkapnya kira-kira sebulan yang lalu.

Apa-apa keburukkan yang dilalui oleh kelab selalunya akan kembali kepada pengurus. Selain pengurus, semuanya tidak bersalah atas apa yang berlaku.

Mentaliti dan taktikal pasukan

Beliau turut bercakap tentang mentaliti pemain, “Mereka sudah terbiasa dengan suasana di sini. Mereka tidak bermain untuk sesuatu yang penting, mereka juga tidak mahu bermain dalam tekanan. Sangat mudah begini.

Itu yang cuba dijelaskannya tentang mengapa prestasi pasukan memburuk selepas permulaan yang baik di awal musim lalu. Baginya, inilah Tottenham.

Pemain juga harus bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Contohnya, kenapa Son Hyung-min hanya meledak lapan gol setakat ini? Memburukkan keadaan, Richarlison masih belum melakar gol dalam saingan liga. Mereka juga telah dibolosi 51 gol – terburuk di kalangan 10 pasukan teratas.

Adakah apa yang dipamerkan para pemain membantu pasukan untuk memburu apa-apa kejuaraan? Adakah segalanya masih salah pengurus?

Ya, adakalanya tidak dapat dinafikan yang Conte juga memiliki salahnya tersendiri. Tetapi, ia perlu digalas secara bersama, bukan berseorangan.

Sejak kekalahan kepada Arsenal pada Oktober 2022, segalanya runtuh di pihak mereka. Rekod tujuh perlawanan tanpa kalah sejak musim bermula dimusnahkan oleh ‘The Gunners’. Sejak itu, mereka tidak konsisten.

Salah satu isu yang dibangkitkan adalah tiada pemain yang berada di Spurs saat ini sesuai dengan gaya permainannya. Malah, formasi 3-4-3 yang diterapkannya mungkin menjadi punca mereka dibolosi dengan banyak.

Kata-kata Conte terjelma berdepan Newcastle

Mungkin mereka antara yang mencipta gol terbanyak di liga – 58 gol, tetapi sedarkah kita yang segalanya daripada Harry Kane – 40 peratus gol Spurs.

Tetapi, di saat mereka mencipta banyak gol, mereka juga telah melepaskan sejumlah besar gol. Jadi, pemain juga harus melihat semula aksi mereka.

Saya sudah tegaskan kepada pemain yang saya mahu lihat semangat membara, tetapi ia masih tidak berlaku. Bukan hanya di padang latihan tetapi ketika perlawanan. Kerana, di sinilah [perlawanan] anda perlukan tunjukkan sesuatu yang berbeza,” ungkap Conte dalam sidang media yang sama.

Saya sangat kecewa dan semua harus bertanggungjawab. Bukan hanya kelab, pengurus dan staf. Pemain juga harus terlibat sama kerana inilah masanya untuk berubah jika Tottenham mahu berubah,tambahnya.

Dibolosi lima gol di babak pertama menggambarkan tiada kerjasama dalam sepasukan seperti yang dikatakan Conte sebelum beliau dipecat tempohari.

Apakah yang pemain-pemain Spurs telah lakukan di dalam padang?

Mungkin sudah ditakdirkan mereka hanyalah pasukan yang sekadar memburu kejuaraan sampai bila-bila. Jika tiada perubahan seperti yang dikatakan oleh bekas pengurus mereka itu, mereka boleh kekal bermimpi. Apa yang berlaku di Tottenham saat ini? Kemukakan pendapat anda pula.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN