Tiada ungkapan daripadanya apabila jaringan yang dinanti hampir tiga tahun oleh Luqman Hakim Shamsudin akhirnya tiba dan ia bersama skuad B-23 di Sukan SEA 2021 ketika Malaysia menang 3-1 ke atas Laos.
Bukan satu, tetapi dua gol berjaya dilakarnya selepas kemarau jaringan gol yang kali terakhir dihasilkannya pada November 2019 semasa pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.
Luqman muncul sebagai penjaring kedua terbanyak buat skuad negara ketika itu dengan lima gol, di belakang Aiman Afif yang melakar tujuh gol. Penjaring terbanyak pusingan kelayakan adalah Suphanat Mueanta dengan sembilan gol. Malaysia mara ke pusingan akhir kejohanan itu, namun tidak dapat beraksi akibat dibatalkan.
Selepas pusingan kelayakan itu, Luqman terus gagal meledak gol lagi ketika mewakili negara. Beliau dibawa ke skuad kebangsaan untuk menyelesaikan masalah penyudah, tetapi masih gagal menyumbang sebarang gol.
Tanggungjawab berat di bahunya bersama skuad negara bukanlah kepalang. Beliau baru berusia 20 tahun, tetapi ramai mengharapkannya untuk mencetak gol membantu Harimau Malaya. Mungkin itulah yang mengganggu sentuhannya apabila acapkali tanggungjawab meledak gol diletakkan di atas kepalanya.
Bukan hanya penyokong teranti-nanti jaringannya, Luqman turut sama menanti sentuhannya kembali.
Bercakap selepas berhasil membantu Malaysia melakar kemenangan ke atas Laos, ini ungkapannya.
"His work rate off the ball is phenomenal" Brad Maloney on Luqman Hakim. 🔥@ASTROARENA pic.twitter.com/uo02EimAj5
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) May 12, 2022
“Pertama sekali, Alhamdulillah syukur sangat dengan hasil ini atas usaha saya sendiri. Gembira memang gembira, sedih pun sedih juga sebab pada 2022 baru saya dapat jaringkan gol untuk Malaysia.
“Saya bersyukur sangat atas sokongan diberikan jurulatih, rakan-rakan, terutama keluarga serta peminat Malaysia yang menunggu-nunggu jaringan daripada saya. Saya amat teruja sekali dengan diri saya dan hasil usaha kerja keras saya selama ini. Perasaan sedih itu memang ada sebab saya bekerja keras [sebak] untuk pasukan Malaysia dan untuk saya sendiri. Alhamdulillah, Alhamdulillah.”
Luqman Hakim, Bernama
Luqman Hakim Shamsudin grabbed a double as 🇲🇾 Malaysia maintained their perfect start in Group B of the #SEAGames with a second straight victory over 🇱🇦 Laos earlier tonight! #SEAGames31 #SEAGames2021 pic.twitter.com/uhOkE1Bjei
— ESPN Asia (@ESPNAsia) May 11, 2022
Bukanlah mudah buat dirinya selepas menanti hingga ke perlawanan kedua peringkat kumpulan Sukan SEA 2021 berdepan Laos, barulah jaringan gol itu tiba. Walaupun menang berdepan Thailand, beliau masih lagi ketandusan gol selepas hanya mampu melihat rakan sepasukan, Danial Asri dan Azfar Fikri menjaringkan gol.
Malah, Danial Asri lebih bertuah, apabila berjaya melakar jaringan dalam debutnya bersama skuad B-23.
Diharapkan jaringan ini akan membakar semangat Luqman Hakim untuk menjadi penggempur digeruni di masa depan. Begitupun, Sukan SEA inilah pentas terbaiknya untuk menampilkan sentuhan jaringan terbaiknya.
Malaysia bakal berdepan Singapura pada Sabtu ini dan kemenangan akan lebih membantu Malaysia untuk mara ke separuh akhir – yang kali terakhir dilakukan pada edisi 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur.