Manchester City sekali lagi mempamerkan corak permainan yang memukau apabila menewaskan Burnley 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad semalam.
Kemenangan tersebut ditambah dengan kekalahan Manchester United di Huddersfield yang telah membawa City unggul di puncak carta Liga Perdana Inggeris dengan jarak 5 mata, namun pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan mendabik dada.
“Bulan Mei barulah ia penting, bulan Oktober ia tidak begitu penting. Kami telah menang 11 perlawanan berturut-turut kini. Ia bermakna kami berupaya memenangi banyak perlawanan.
“Kami di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah , namun tahun lalu kami telah memenangi sepuluh perlawanan berturut-turut dan tetap tidak menjuarai liga.
“Kami perlu kekalkan rentak ini, kekal fokus dan terus bermain permainan kami,” katanya kepada sidang media selepas perlawanan itu.
“Jika orang datang ke sini memikirkan selepas 20 minit kami akan menang 5-0, ia tidak akan berlaku. Selepas bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah pada pertengahan minggu, ia amat mencabar buat kami kerana kejohahan tersebut menuntut tinggi dari segi mental dan fizikal.
“Kami telah mencipta cukup peluang dan bertahan dengan bagus sekali. Kami tidak terlepas peluang-peluang tersebut. Musim lalu ketika mendahului 1-0, mungkin kami merasa lebih gementar dengan kurang kawalan,” jelasnya.
Sepakan penalti Aguero merupakan gol yang ke-177 penyerang Argentina tersebut buat Manchester City sejak berpindah daripada Atletico Madrid pada musim panas tahun 2010 dan ia menyamai rekod penjaring gol terbanyak kelab itu yang dipegang oleh Eric Brook pada tahun 1938.
Guardiola melahirkan rasa gembira atas prestasi Aguero yang sekembali daripada kecederaan hampir sebulan.
“Beliau terlepas tiga perlawanan, dia telah bermain beberapa minit hari ini dan mungkin hari Selasa ini.
“Ia penting untuknya menyamai rekod tersebut secepat mungkin. Apabila beliau memecah rekod baru nanti, ia akan menjadi sesuatu yang istimewa. Kami amat gembira menjadi sebahagian dari detik indah ini bersamanya.”
Guardiola turut memberi pujian khas kepada barisan pertahanannya terutamanya John Stones.
“Persembahan permainannya dan Nico pada bulan lalu pada tahap tertinggi.
“Semasa di Everton, beliau bermain sekali seminggu. Dia menanganinya dengan bagus bersama kami dengan bermain setiap tiga hari.
“Dia cergas dan fokus. Kami percaya dia dapat mencapai satu tahap lagi. Dia seorang yang berjiwa kental dan berpesonaliti besar.
“Dia memenangi setiap pertarungan dan kami amat gembira atas prestasi permainannya.”