Tewas 0-1 kepada West Ham hasil jaringan tunggal Declan Rice pada aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di London Stadium, malam tadi jelas kurang disenangi pengurus Arsenal, Unai Emery.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu beranggapan kekalahan kelima dalam saingan musim 2018/19 itu adalah satu keputusan yang teruk kerana ia menjejaskan usaha The Gunners bagi mencabar empat pasukan tangga teratas.
Bercakap kepada sidang media selepas perlawanan, Unai Emery jelas kecewa dengan keputusan yang diraih anak buahnya itu.
”Ya, saya merasakan keputusan perlawanan ini adalah satu keputusan yang teruk.”
”Kami terlepas peluang hebat untuk mencatatkan tiga mata penuh dan terus memberikan tekanan buat Chelsea dan pasukan lain di kedudukan empat teratas tetapi kami tewas.”
”Kami mahu untuk memberikan yang lebih baik pada perlawanan ini. Kami gagal mengawal perlawanan seperti yang kami harapkan.”
Arsenal ketika ini ketinggalan enam mata di belakang Chelsea yang berada di tangga keempat selepas skuad bimbingan Maurizio Sarri itu mencatatkan kemenangan 2-1 ketika bertemu Newcastle United, awal pagi tadi.
Manchester United di tangga keenam pula berupaya untuk menyamai kutipan 41 mata dengan Arsenal sekiranya mereka berjaya menundukkan Tottenham Hotspur nanti.