Saingan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sering menghadirkan kontroversi terutamanya dalam acara bola sepak.
Tumpuan kepada kontroversi itu adalah melibatkan gerakan ultras yang mendukung perjuangan bola sepak negara iaitu Ultras Malaya (UM) yang mengeluarkan sorakan yang agak keras bunyinya kepada pihak lawan.
Sorakan yang dikatakan menghina pasukan lawan itu telah menjadi tular dan menjadi perbualan hangat di media sosial seluruh negara.
Apa yang hebat mengenai isu ini, ia berjaya menarik mereka-mereka yang selama ini tidak kisahkan bola sepak negara turut memberi komen mengenainya!
Baru-baru ini, pihak FAM telah bertemu dengan wakil UM untuk membincangkan perkara tersebut.
Menerusi kemaskini di laman Facebook FAM, badan induk bola sepak negara telah diwakili oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.
Selain itu Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Dato’ Low Beng Choo dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Lokman Hakim Ali turut serta dalam pertemuan itu.
UM yang diwakili oleh saudara Rambo dan Mizi dalam pertemuan itu membincangkan beberapa perkara dan yang menjadi fokus adalah isu sorakan yang menghina pasukan lawan.
Menurut FAM, isu sorakan itu telah dijadikan aduan rasmi kepada pihak penganjur Sukan SEA dan oleh itu pihak UM tidak akan melakukan sorakan itu lagi bermula pada perlawanan separuh akhir menentang Indonesia.
Ia bertujuan bagi menjaga hubungan baik sesama negara ASEAN.
Perkara itu diterima baik oleh pihak UM yang sudah mula memperlahankan sorakan itu pada perlawanan terakhir kumpulan A menentang Laos tempoh hari.
Satu perkembangan baik mengenai isu yang hangat diperdebatkan ketika ini.
Malaysia bakal bertemu Indonesia di Stadium Shah Alam dalam aksi separuh akhir Sukan SEA pada 26 Ogos 2017 di Stadium Shah Alam.