“Ulasan Selari” Terhadap Pasukan Harimau Malaya Di Kejohanan Piala Asia 2023, Doha, Qatar

Oleh: A. Seman

Saya terpanggil untuk memberi sedikit komentar terhadap prestasi Harimau Malaya di kejohanan Piala Asia 2023 setelah kita secara rasmi menamatkan perlawanan di peringkat kumpulan. Lebih-lebih lagi, sejak kekalahan 4-0 dalam perlawanan pertama menentang Jordan, hati saya terjentik untuk memberi komentar tetapi saya tangguhkan hasrat itu sehingga Harimau Malaya menyelesaikan semua baki perlawanan di peringkat kumpulan.

Ini dirasakan lebih adil bagi menjadikan komentar ini lebih bersifat rasional dan menyeluruh. Seperti semua maklum, Harimau Malaya telah tersingkir di peringkat kumpulan dan gagal ke pusingan 16 kalah mati. Sungguh pun begitu, perlawanan terakhir menentang Korea Selatan amat bermakna dan memberi kesan yang mendalam kepada semua pendokong Harimau Malaya.

Walau pun Harimau Malaya tidak mencatatkan satu kemenangan pun, tetapi perlawanan terakhir itu dengan merekodkan keputusan seri 3-3 dengan pasukan yang bertaraf dunia semacam kita sudah menjuarai Piala Asia itu. Apa-apa pun, kita patut mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya yang mampu bersaing dengan lebih baik bersama pasukan-pasukan bertaraf dunia.

Dari Perlawanan Pertama Hingga Perlawanan Terakhir.

Perlawanan pertama Harimau Malaya menentang Jordan adalah titik pemisah harapan Malaysia. Saya lihat ada dua faktor yang memerangkap kita:

a) Pertamanya kita mungkin terperangkap dengan sasaran awal untuk mara ke pusingan 16 dengan menyasarkan untuk menang perlawanan pertama dengan Jordan yang berada di kedudukan 87 dunia dan setidak-tidaknya seri di perlawanan kedua dengan Bahrain yang berada dikedudukan 86 dunia.

Ini kerana kita tidak menetapkan harapan untuk menang atau seri di perlawanan akhir di peringkat kumpulan menentang pasukan yang berada di kedudukan 23 dunia iaitu Korea Selatan. Jika percaturan ini menjadi, bermakna Malaysia akan lolos ke pusingan kalah mati dan ini akan menjadi kejayaan yang paling tinggi dalam sejarah bola sepak negara.

Saya kira sasaran ini ada asasnya dan bukan setakat di kalangan FAM dan kem kejurulatihan Harimau Malaya tetapi sasaran ini juga telah menjadi satu kepercayaan dan harapan kepada penyokong dan peminat bola sepak Malaysia. Akhirnya, pemain kita tidak dapat menyerap tekanan itu dan permainan tidak menjadi.

b) Faktor kedua adalah taktikal yang menjerat Harimau Malaya dalam perlawanan pertama yang menjadi titik tolak kekecewaan Harimau Malaya (Nota: Saya tidak menyalahkan Kim Pang-gon (KPG) sepenuhnya dalam hal ini). Secara umumnya, ada tiga aspek tektikal yang mungkin boleh diperdebatkan khusus pada perlawanan pertama iaitu (a) formasi 3-4-3 yang digunakan, (b) penampilan pertama Romel Morales dan (c) kombinasi baharu Arif Aiman-Faisal Halim.

Secara ringkasnya, formasi 3-4-3 ini seperti menjerat pasukan Harimau Malaya disamping taktikal pasukan Jordan memerangkap kita menerusi hantaran jauh dan berjaya melepasi benteng pertahanan Malaysia dengan mudah. Pasukan Jordan tidak bermain dengan “build up” dari tengah tetapi dengan hanya membuat hantaran jauh dari kiri dan kanan melepasi bahagian tengah dan pertahanan negara.

Dengan formasi 3-4-3 ini, pertahanan negara tidak mampu menyekat pemain Jordan yang mempunyai susuk tubuh yang lebih besar dari pemain Malaysia. Seterusnya, penampilan Romel Morales buat kali pertama dalam skuad negara, saya kira antara faktor yang tidak boleh dinafikan kepada kekalahan teruk itu. Ia satu perjudian dan berisiko tinggi dari sudut keserasian pasukan ketika menentang pasukan yang mempunyai kualiti yang lebih baik dari Malaysia dan dalam suasana perlawanan yang berinstensiti tinggi.

Kita boleh lihat Romel Morales seperti tidak berfungsi. Begitu juga tektikal kombinasi yang baharu dan cuba diterapkan oleh KPG bagi mengelirukan lawan iaitu gandingan Arif-Faisal yang diletakkan dalam ruang yang sama. Ia tidak seperti kebiasaan iaitu Arif akan bermain di sebelah kanan dan Faisal di sebelah kiri. Mereka ini boleh bergerak bebas dalam mana-mana keadaan semasa. Taktikal baharu ini menjadikan kedua-dua pemain ini kelihatan terikat dan dilihat kekok sekaligus memudahkan Jordan menyekat serangan Harimau Malaya.

Pada perlawanan kedua bertemu Bahrain, Malaysia telah mengambil pengajaran berguna dari perlawanan pertama dengan bermain dengan mentaliti lebih berwaspada.

Shahrul Saad dan Dominic Tan dimasukkan menerusi formasi 5-4-1. Formasi ini nampaknya berjaya mengimbangi pasukan lawan yang berada dikedudukan 86 dunia dengan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama. Kemasukan Syamer Kutty Abba dalam kesebelasan utama di bahagian tengah bergandingan dengan Stuart Wilkin dan Paulo Josue sebagai penyerang tunggal serta posisi Faisal Halim dan Arif Aiman juga telah dikembalikan seperti kebiasaan memberi impak positif.

Bagaimana pun, prestasi ini tidak mampu bertahan pada separuh masa kedua di mana Bahrain menjaringkan gol tunggal pada minit ke 95, pada masa kecederaan. Ramai pengkritik mempersoalkan kemasukan Natxo Insa yang gagal berfungsi bagi menggantikan Syamer Kutty Abba dalam perlawanan berintensiti tinggi sebegini. Saya juga bersetuju faktor keputusan pertukaran itu sedikit sebanyak menyumbang kepada kegagalan Harimau Malaya mengimbangi Bahrain pada separuh masa kedua.

Bagaimana pun, lebih dari itu, saya melihat bahawa faktor urgency pasukan Bahrain untuk menghidupkan peluang mereka ke pusingan 16 itu sendiri dengan meningkatkan intensiti pemainan, telah menyumbang kejayaan mereka. Manakala, tahap urgency Harimau Malaya untuk menang menurun pada separuh masa kedua dan pada ketika itu, fokus mereka kelihatan hanya untuk tidak dibolosi dan berharap satu mata sudah memadai. Akhirnya, kita kempunan meraih setidak-tidaknya satu mata pada perlawanan tersebut.

Perlawanan terakhir dengan Korea Selatan pula adalah perlawanan yang disifatkan nothing- to-lose kerana Harimau Malaya telah pun tersingkir untuk ke pusingan 16. Bagaimana pun, ia tetap penting demi maruah negara walau pun berdepan dengan pasukan ke 23 terbaik dunia.

KPG mempertaruhkan formasi kegemaran beliau iaitu 3-4-3 dengan kembalinya Darren Lok, mengekalkan Dominic Tan dan Shahrul Saad, serta memasukkan pertama kali Denial Ting (menggantikan Matthew Davis) dan Brendan Gan dalam kesebelasan utama. Walau pun perlawanan tersebut didominasi oleh Korea Selatan sehingga 82%, Harimau Malaya masih boleh mengimbangi perlawanan sehingga suatu ketika mengejutkan Korea Selatan dengan 2-1. Apa yang jelas terlihat adalah Harimau Malaya seolah-olah melupai itu pasukan Korea Selatan dan bermain dengan begitu semangat dan ada ketika selesa dengan permainan.

Jaringan Faisal Halim adalah satu contoh, pemain kita “boleh bermain bola” dan berkualiti kelas dunia. Semangat tidak mengalah hingga ke wisil penamat juga jelas kelihatan. Sebagai contoh gol Romel Morales pada minit 105, hasil kerja keras Stuwart Wilkin dan Paulo Josue pada masa kecerderaan membuktikan semangat itu terserlah. Cuma mentaliti pemain kita masih takut-takut untuk memegang bola lebih lama dan juga takut-takut untuk meminta bola. Mentaliti play safe boleh dilihat di mana penjaga gol lebih suka menendang bola terus ke atas dan berharap bola itu tidak berada di kawasan padang sendiri.

Begitu juga, apabila mendapat lontaran ke dalam, pemain yang mengambil lontaran itu terpaksa menunggu lama dan mencari-cari pemain yang “sudi” untuk menerima bola. Situasi ini tidak memungkinkan kita untuk meningkatkan dominasi dalam perlawanan tersebut. Hanya beberapa pemain seperti Stuart Walkin, Dion Cools, Faisal Halim dan Arif Aiman dilihat berani memegang bola lebih lama dan merencanakan hantaran. Berbanding dengan pasukan Korea Selatan, mereka sentiasa bergerak maju ke hadapan dan “sudi” menerima bola dari rakan-rakan sepasukan bersilih ganti.

Bagaimana pun, kita patut memberi pujian kepada Dominic Tan, Shahrul Saad, Dion Cools dan Daniel Ting yang banyak menyukarkan pemain Korea Selatan dari kenduri gol.

Rumusan Pasca Piala Asia 2023

Realiti dan harapan adalah berbeza. Kadang-kadang kita lupa realiti apabila terlalu mengharap sesuatu. Tidak salah menaruh harapan yang tinggi kerana itu tanda kita berjiwa besar. Dalam konteks kejohanan piala Asia 2023, harapan kita menggunung untuk melepasi pusingan kumpulan dan lolos ke pusingan kalah mati.

Kita cuba mendongak ke langit tetapi perlu melihat juga ke bawah di mana rumput yang kita jejaki. Realitinya adalah:

a) Malaysia sebelum sepak mula Piala Asia berkedudukan 130 dunia bergerak jauh dari berkedudukan 178 dunia. Dalam kejohanan yang menyenaraikan sebanyak 24 pasukan, berdasarkan ranking dunia, pasukan Hong Kong adalah pasukan pada kedudukan paling bawah iaitu ke 24 dengan ranking FIFA ke 150.

Malaysia pula berada pada tangga ketiga dari bawah iaitu ke 22 dengan ranking FIFA ke 130. Indonesia pada tangga ke 23 dengan ranking FIFA ke 146. Manakala Jepun pada tangga pertama dengan ranking FIFA ke 17. Purata ranking keseluruhan pasukan yang mengambil bahagian adalah 81.5. Dengan ranking pada 130 ini, realitinya Malaysia jauh terkebelakang berbanding purata ranking keseluruhan pasukan. Ranking FIFA boleh dijadikan asas sebagai penanda aras betapa jauh lagi kualiti Harimau Malaya.

Dalam kumpulan E, Malaysia bersaing dengan Korea Selatan dengan ranking FIFA pada 23, Bahrain pada ranking FIFA ke 86 dan Jordan pada ranking FIFA ke 87. Di atas kertas berdasarkan ranking ini memang sukar untuk Malaysia pergi jauh. Malaysia perlu berusaha untuk naik ke kelompok 100 terbaik dunia. Dengan sasaran ini, Harimau Malaya dengan mudah menarik minat pasukan-pasukan yang lebih tinggi ranking untuk perlawanan persahabatan. Pada ranking sekarang, Malaysia masih sukar untuk mendapatkan sparring training dengan pasukan-pasukan yang lebih tinggi ranking.

Perlawanan persahabatan seperti ini sudah pasti memberi banyak kelebihan dan pendedahan kepada permainan yang bermutu tinggi, sekaligus menyumbang keyakinan kepada pemain untuk bermain dengan lebih selesa. Inilah antara pemerhatian yang dapat dilihat dalam tiga perlawanan kumpulan, sebahagian pemain Harimau Malaya tidak begitu selesa untuk memegang bola dengan agak lama dan takut- takut untuk menerima bola.

Hal ini menyukarkan untuk kita mendominasikan permainan, merencanakan “build up” yang lebih baik dan menterjemahkan tektikal jurulatih semasa permainan.

b) Realitinya kualiti pemain kita masih belum sampai ke tahap kebanyakan kualiti pemain- pemain yang mewakili negara-negara yang berkedudukan ranking yang lebih tinggi. Ia berkait langsung dengan ranking Harimau Malaya.

Jika Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, maka nilai pasaran permain kita juga akan naik. Dalam kejohanan Piala Asia ini, kita dapat melihat bahawa pemain-pemain kita mula dilihat. Kita ada bakat-bakat yang mempunyai kualiti tersendiri tetapi memerlukan pentas- pentas besar sebegini untuk menaikkan nilai pasaran pemain kita.

Negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun, yang sudah berada dalam kelompok tertinggi bola sepak dunia, pemain-pemain mereka sudah lama berkelana di kelab-kelab ternama terutama di eropah. Pendedahan kepada tahap permainan yang berkualiti dan berintensiti tinggi sebegini amat perlu bagi melonjak kualiti pasukan kebangsaan. Selain dari itu, saya lihat kita juga ketandusan pemain no. 9 dan no. 10 tulen.

Mesin pencetak gol kita agak tumpul. Pemain no. 9 dan juga no. 10 tulen mempunyai “killer instict” yang tinggi dan hanya memerlukan sedikit peluang untuk menjaringkan gol. Tabik kepada tektikal KPG, yang berjaya juga mencetak gol walaupun datangnya dari pemain pertahanan seperti La’Vere Corbin-Ong dan Dion Cools.

c) Kejayaan KPG membawa Harimau Malaya ke pentas Asia adalah amat menakjubkan. Bukti pertama adalah ranking dunia Harimau Malaya terus meningkat ke pada tahap tertinggi dalam sejarah selepas 40 tahun. Itu cerita di atas kertas! Saya lebih suka melihat disebalik tabir.

Begitu ramai nama-nama besar dalam lipatan sejarah sebagai jurulatih Harimau Malaya selepas era 90-an. Mengikut perkiraan saya, KPG yang paling berjaya. Antara faktor yang paling mencabar bagi jurulatih luar adalah untuk mengubah budaya dan mentaliti pemain. Nama-nama besar jurulatih Harimau sebelum ini datang dengan tektikal yang hebat tetapi belum tentu boleh diterjemahkan dalam permainan kerana budaya dan mentaliti pemain yang berbeza.

Pertamanya, saya melihat KPG adalah seorang high risk taker iaitu berani mengambil risiko. Tanpa karekter kepimpinan sebegini mana-mana pasukan tidak akan pergi jauh. KPG dilihat suka permainan secara offensive dan aggressive. High risk taker ini boleh dilihat pada perlawanan pertama menentang Jordan.

Biasalah keberanian ini tidak selalu membuahkan hasil tetapi untuk jangka panjang ia diperlukan untuk menolak mutu Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi. Kebanyakkan jurulatih sebelum ini terutama jurulatih tempatan (tanpa merujuk kepada mana-mana jurulatih), apabila Harimau Malaya berdepan dengan pasukan yang jauh lebih tinggi kedudukan ranking, kebanyakannya akan bermain secara play safe dan defensive atau istilah sekarang dipanggil “parking bas” bagi mengelak bolos gol yang banyak. Budaya dan mentaliti sebegini (play safe) tidak membantu menolak mutu permainan negara ke tahap tertinggi.

d) Realitinya dalam kejohanan piala Asia kita mempunyai 14 pemain naturalisasi/warisan daripada 26 pemain yang didaftar dalam skuad kebangsaan.

Saya tiada masalah dengan pemain naturalisasi/warisan ini. Cuma kebergantungan kepada pemain-pemain ini untuk jangkamasa panjang adalah tidak bagus. Pertamanya, pemain-pemain ini hanya boleh bertahan dalam jangka pendek. Rata-rata umur mereka adalah hampir atau melebihi 30-an.

Keduanya, peluang untuk mendapatkan pemain yang betul-betul oustanding hampir tiada kerana mereka bebas memilih negara mana yang hendak diwakili. Kalau mereka ada peluang untuk mewakili negara yang lebih tinggi kedudukan ranking, sudah tentu mereka tidak memilih untuk bermain dengan Harimau Malaya.

Itu realiti! Setakat pemerhatian saya, tiada negara yang boleh dijadikan teladan kejayaan projek naturalisasi/warisan ini. Kemungkinan yang ada hanyalah Perancis yang diberi jolokan Senegal 2. Saya juga pernah memberi komentar berkenaan pemain naturalisasi ini Projek Naturalisasi: Malaysia Terperangkap Antara Fantasi Dan Realiti?

Projek Naturalisasi: Malaysia Terperangkap Antara Fantasi Dan Realiti?

Kesimpulan

Sebagai pengakhiran kepada “ulasan selari” di atas, saya perturunkan kesimpulan berikut:

a) Malaysia perlu mencari jalan untuk memperbaiki kedudukan ranking supaya berada dalam kelompok 100 dunia. Ini akan menjadikan kualiti pemain-pemain kita meningkat dan sekaligus meningkatkan nilai pasaran pemain kita di persada antarabangsa. Apabila banyak pemain kita telah berkelana di kelab-kelab gergasi bola sepak, mutu permainan Harimau Malaya akan meningkat.

b) Malaysia juga perlu menggandakan usaha jangka panjang untuk pembangunan bakat tempatan bagi mengisi transisi pemain sedia ada terutama pemain naturalisasi/warisan untuk setidaknya 10 tahun akan datang.

c) Malaysia harus mengekalkan kepimpinan KPG untuk beberapa tahun lagi bagi memberi peluang KPG memperkukuhkan asas budaya dan mentaliti pemain dan tahap kualiti permainan Harimau Malaya.

d) Akhirnya, semoga sasaran kita untuk layak ke Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027

A. Seman, adalah peminat sejati Harimau Malaya sejak 80-an. Tulisan ini padangan peribadi sebagai pemerhati dan peminat bola sepak.

Ini adalah kali kedua beliau berpeluang memberi padangan secara bertulis. Biasanya pandangan-pandangan beliau hadir dan berlalu begitu sahaja di kedai-kedai kopi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN