Sebelum ini dikhabarkan UiTM FC akan kehilangan khidmat pengendali pasukan, Frank Bernhardt yang dikatakan telah menerima satu tawaran yang agak lumayan.
Walaupun tidak didedahkan identiti pasukan tersebut, maklumat tersebut menyatakan yang ianya tawaran yang UiTM FC tidak dapat saingi menyebabkan Semuanya BOLA merasakan ianya datang daripada Selangor yang ketika itu belum memiliki pengendali.
Selepas tersebarnya berita kelibat pengendali, Karsten Neitzel yang juga berasal dari Jerman di Selangor, maka ianya jelas bukanlah tawaran daripada The Red Giants.
UiTM’s coach Frank Bernhardt is a hot commodity in Malaysian football right now. It is learnt that Pahang, Melaka, KL and Penang have shown interest in the German. UiTM has also offered an extension. #MFLTransfer2021
— T. Avineshwaran (@avineshW90) November 12, 2020
Menurut wartawan The Star, T. Avineshwaran, Frank Bernhardt telah menerima beberapa tawaran daripada pasukan seperti Pahang, Melaka United, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, namun ketika itu keputusan masih belum dibuat mengenai hala tujunya.
UiTM FC mempamerkan aksi yang memberangsangkan pada musim ini apabila berjaya menduduki kedudukan ke-6 Liga Super. Untuk rekod, ini merupakan musim pertama The Lions di saingan tertinggi Liga Malaysia selepas meraih promosi.
Antara keputusan baik yang dicatatkan mereka sepanjang musim ini adalah menang ke atas Pahang (1-0), Terengganu FC (2-1) selain terikat dengan keputusan seri menentang dua pasukan besar iaitu Kedah (1-1) dan tentunya Selangor (3-3).
Menurut laporan Astro Arena, Frank Bernhardt akan kekal mengendalikan UiTM FC dengan beberapa perubahan pemain dijangkakan akan berlaku. Dikhabarkan setakat ini, empat pemain import dan lima pemain tempatan akan digugurkan.
Antara yang sudah hampir pasti akan meninggalkan pasukan adalah pemain import tengah, Rabih Ataya yang dikhabarkan sudah bersetuju untuk menyertai skuad juara Piala FA 2019, Kedah. Ia akan dimuktamadkan pada minggu hadapan.
Pengurus The Lions, Mustaza Ahmad dipetik berkata, “Ianya hampir, hampir [selesai]. Kita sedang membincangkan beberapa perkara lagi untuk kita membuat keputusan.”
“Pemain yang dilepaskan, kalau mengikut laporan ketua jurulatih tidak ramai. Kita masih perlu pertimbangkan beberapa aspek lain. Frank Bernhardt memberikan kepercayaan kepada 84 peratus pemain musim ini untuk dikekalkan,” jelasnya.
Frank Bernhardt adalah jurulatih yang ‘selesa’ dengan pemain-pemain muda dan tidak kekok bersama pemain senior. Walaupun tanpa pemain-pemain ternama bersamanya, UiTM FC masih mampu memberikan saingan yang baik pada musim lalu.
KREDIT FEATURED IMAGE: UITM FC
Baca lagi artikel mengenai Frank Bernhardt dan UiTM FC: