5 Sebab Mungkin ‘Jodoh’ Frank Bernhardt Adalah Selangor

Frank Bernhardt UITM FC Selangor 2021

Semua tertanya-tanya ke mana hala tuju pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan selepas sah akan meninggalkan pasukan.

Perkhabaran mengenai perkara tersebut dimaklumkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi akaun Twitternya dan ketika ini hala tuju pengendali berusia 51 tahun itu menjadi persoalan. Liga Malaysia tidaklah besar mana, mungkin ada pembaca yang sudah boleh agak ke mana beliau akan pergi.

Berikut adalah 5 sebab mengapa destinasi seterusnya buat Frank Bernhardt adalah besar kemungkinannya Selangor.

UiTM FC cari jurulatih baharu, tidak dapat ‘counter offer’ tawaran

Menerusi posting Zulhelmi Zainal Azam itu, UiTM FC sedang mencari jurulatih baharu untuk saingan musim hadapan dan kemudian didapati laman Facebook rasmi pasukan tersebut telah dimuat naik iklan pencarian calon untuk beberapa jawatan di dalam barisan kejurulatihan pasukan termasuklah ketua jurulatih.

Kalau sampai tidak dapat counter offer, sudah semestinya ia datang daripada sebuah pasukan yang besar dan berpengaruh. Dan mungkin juga tawaran tersebut lebih lumayan berbanding dengan apa yang mampu ditawarkan oleh The Lion Troops untuk khidmatnya. Jadi, besar kemungkinan Selangor adalah pasukan tersebut.

Selangor tiada jurulatih selepas pecat B. Satiananthan

Berkaitan dengan itu, Selangor mungkin secara kebetulannya belum melantik ketua jurulatih sehingga kini. Selepas tewas besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 19 September lalu dalam saingan Liga Super, B. Satiananthan telah dipecat.

The Red Giants kemudian dikendalikan sementara oleh Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner untuk baki liga dan juga saingan Piala Malaysia. Menariknya, di bawah kendalian Satia, Selangor hanya meledak 10 gol dalam lapan perlawanan dan baki tiga perlawanan di bawah Feichtenbeiner, Selangor menghasilkan 16 gol!

Satiananthan pernah sebut, “[Jurulatih] Mat Salleh lagi bagus kan?”

Selepas diikat PJ City FC dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi ke-5 Liga Super, pengendali berusia 62 tahun itu telah dipetik berkata, “Mungkin taktik saya tidak bagus, memang [saya] sudah tua, Mat Salleh lagi bagus kan?”

Ketika itu tersebar yang FAS sedang meneliti calon pengendali daripada luar negara untuk mengendalikan pasukan pada saingan musim 2021 dan kontraknya bersama Selangor pula dijangkakan tidak akan disambung selepas musim berakhir.

Selangor mahu terapkan falsafah Jerman, Bernhardt orang Jerman

Michael Feichtenbeiner adalah orang Jerman dan dikhabarkan sebelum ini yang bakal pengendali The Red Giants musim depan adalah daripada Jerman. Pendekatan FAS yang mungkin mahukan falsafah bola sepak Jerman dalam skuad mereka nampaknya semakin jelas sekiranya, Frank Bernhardt adalah individu tersebut.

Beliau merupakan orang Jerman dan menurut laporan Astro Arena, FAS mencari pengendali yang boleh mengikut pendekatan taktikal yang sama seperti yang diterapkan oleh Feichtenbeiner dalam tiga perlawanan yang dibawanya.

Selangor mahu dedahkan lebih pemain muda, Bernhardt adalah orangnya

Semua tentu perasan yang Selangor ketika ini sering mengetengahkan cerita dan info mengenai pemain-pemain muda mereka dan untuk saingan Piala Malaysia, mereka telah menyerap masuk lima pemain muda daripada Selangor 2 untuk beraksi.

Frank Bernhardt adalah jurulatih yang ‘selesa’ dengan pemain-pemain muda dan tidak kekok bersama pemain senior. Hasilnya, kita boleh lihat UiTM FC menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-6, di atas Pahang dan Melaka United. Satu pencapaian yang luar biasa buat skuad yang serba kekurangan dari segi pemain dan kewangan.

KREDIT FEATURED IMAGE: UITM FC

Baca lagi artikel mengenai Frank Bernhardt dan Selangor:

Bernhardt Yakin UiTM FC Akan Kekal Di Liga Super

Misi Getir Bernhardt Bimbing Pasukan Universiti Pertama Beraksi Di Liga Super

Nick Swirad, Khyril Muhymeen Antara 5 Pemain Yang Digugurkan Selangor?

One Comment

Leave a Reply