Cristiano Ronaldo akhirnya berjaya menamatkan kemarau jaringannya pada musim ini selepas satu gol ketika membantu Manchester United menang 2-0 ke atas Sheriff Tiraspol dalam aksi Liga Europa (UEL).
Ia merupakan kemenangan pertama skuad kendalian Erik ten Hag itu dalam kempen mereka di Eropah selepas dimalukan oleh Real Sociedad dalam aksi pembukaan pada minggu lalu di Old Trafford.
Gol pertama United dalam aksi di Maldova itu dijaringkan oleh Jadon Sancho seawal minit ke-17 menerusi satu penyudah yang cukup bergaya hasil umpanan cantik Cristian Eriksen ke dalam kotak penalti.
Pemain yang tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan England itu kemudian hampir meledak gol kedua peribadinya dengan satu rembatan rendah, namun percubaannya dikeluarkan di atas garisan oleh kapten tuan rumah Stjepan Radeljic.
Enam minit sebelum tamat babak pertama, pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas Diogo Dalot yang sedang membuat larian di dalam kotak penalti dijatuhkan oleh Patrick Kpozo.
Ronaldo tiada masalah untuk menterjemahkan peluang tersebut untuk menggandakan pendahuluan buat United yang juga merupakan gol pertamanya dalam saingan UEL sekaligus merekodkan gol ke-700 dalam kariernya di peringkat kelab.
Musim lalu Sheriff pernah membuat kejutan terbesar dalam sejarah bola sepak Eropah pada musim lalu dengan menewaskan Real Madrid di Santiago Bernabeu.
Namun berdepan United, mereka gagal untuk mengimbangi corak permainan kemas yang dipamerkan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan sepanjang perlawanan.