Kapten pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang terlepas peluang terbaik menjaringkan gol pada minit akhir masa tambahan, sekali gus menyaksikan Arsenal tersingkir dari pertandingan itu di tangan Olmpiakos.
Aubameyang sebelum ini sering kali dilihat sebagai penyelamat The Gunners, dilihat mampu sekali lagi melakukan sesuatu apabila sepakan gunting pemain antarabangsa Gabon itu membatalkan gol pendahuluan Olympiakos yang dihasilkan oleh Pape Abou Cisse.
Sekali lagi set pieces yang menjadi masalah pertahanan menghukum Arsenal, selepas Youssef El Arabi menolak bola masuk untuk mengembalikan kelebihan kepada Olympiakos.
Kegagalan Aubameyang menyempurnakan peluang yang beliau miliki bemakna Arsenal kendalian Mikel Arteta tewas buat kali pertama sepanjang tahun 2020 ini.
Hampir keseluruhan tempoh perlawanan menyaksikan barisan terbaik Arsenal yang diturunkan khusus untuk perlawanan ini kecewa terutama dengan hasil di hadapan gol lawan.
Percubaan tepat pertama The Gunners hanya hadir pada minit ke-77 perlawanan, memberi gambaran jelas bagaimana Arsenal bergelut sepanjang perlawanan.
Strategi Olympiakos juga tampak sukar untuk dilaksanakan. Namun kelab Greek itu tetap meneruskan perancangan mereka dalam perlawanan ini untuk memperolehi kemenangan sekali gus mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Dalam perlawanan pusingan pertama di Athens sebelum ini, Arsenal menang 1-0. Kejayaan Olympiakos menewaskan Arsenal 2-1 di Emirates bermakna mereka mempunyai kelebihan gol di tempat lawan.