Pertandingan UEFA Europa League (UEL) kini juga sudah masuk ke peringkat separuh akhir. Dua wakil England, satu dari Jerman, dan satu lagi kelab dari Sepanyol berentap sesama sendiri untuk menentukan siapakah yang layak ke perlawanan akhir yang akan diadakan di Stadium Olimpik, Baku pada 29 Mei akan datang.
Di Commerzbank-Arena
Pedro menjaringkan gol penting di tempat lawan apabila Chelsea bangkit dari ketinggalan dalam perlawanan yang berakhir 1-1 menentang Eintracht Frankfurt. Keputusan ini akan menjadikan perlawanan di Stamford Bridge pada minggu hadapan menjadi sengit – walaupun Chelsea memiliki sedikit kelebihan.
Eintracht mendahului pada minit ke-23 perlawanan melalui penjaring terbanyak mereka musim ini, Luka Jovic yang menyempurnakan hantaran lintang Filip Kostic.
The Blues yang memulakan perlawanan dengan Eden Hazard berada di bangku pemain simpanan, menyamakan kedudukan melalui Pedro yang merembat deras dari dalam kotak penalti.
Keputusan seri ini bermakna Chelsea menjadi kelab pertama yang merekodkan 16 perlawanan tanpa kalah di pertandingan Europa League. Rekod terdahulu dipegang oleh Atletico Madrid yang dilakukan diantara 2011 sehingga 2012.
Chelsea dan Eintract akan melakukan perhitungan sekali lagi pada awal pagi Khamis minggu hadapan di Stamford Bridge.
Di Stadium Emirates
Di London, dua jaringan Alexandre Lacazette membantu Arsenal untuk bangkit dari ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas wakil Sepanyol, Valencia.
Tandukan Mouctar Diakhaby meletakkan Valencia di hadapan seawal minit ke-11 perlawanan, sebelum Lacazette menolak masuk hantaran Pierre-Emerick Aubameyang tujuh minit kemudian.
Penyerang dari Perancis itu sekali lagi meletakkan nama sebagai penjaring apabila menanduk masuk hantaran lintang Granit Xhaka pada minit ke-25 perlawanan untuk Arsenal mendahului pada separuh masa pertama perlawanan.
Voli di babak akhir perlawanan oleh Aubameyang menjadikan perlawanan berakhir 3-1 untuk Arsenal membawa kelebihan dua gol ke Sepanyol pada minggu hadapan.
Video kredit: Goal