Badan induk bola sepak Eropah, UEFA telah mengarahkan kesemua liga-liga bola sepak di Eropah yang bernaung dengan mereka untuk mengemukakan pelan tindakan pelaksaan semula pertandingan domestik.
Menurut laporan Sky Sports, kesemua liga termasuklah Premier League, La Liga serta Serie A diberi masa sehingga 25 Mei 2020 untuk membentangkan cadangan mereka tentang bagaimana musim domestik mereka boleh disambung semula.
UEFA dikhabarkan telah mengeluarkan garis panduan kepada 55 negara anggota termasuklah dengan keadah penentuan pasukan-pasukan yang akan layak ke saingan UEFA Champions League serta UEFA Europa League.
Pihak UEFA mengatakan macam mana sekali pun, penentuan pasukan ke kejohanan benua adalah berdasarkan merit yang diperoleh mereka hasil dari pencapaian dalam saingan liga domestik.
Pada 27 Mei ini, UEFA akan bersidang bagi membincangkan sebarang kemungkinan untuk menghabiskan musim bola sepak 2019/2020 pada bulan Ogos.
Sungguhpun begitu, UEFA dikatakan boleh ‘berlembut hati’ dengan mana-mana negara yang tidak boleh memberikan pelan tindakan mereka pada 25 Mei kerana ketidaktentuan yang dihadapi akibat wabak Covid-19 yang sekaligus membuatkan kerajaan mereka tidak dapat membuat keputusan kukuh.
Dalam masa yang sama, UEFA akan meminta FA Belanda untuk memberikan penjelasan mengapakah mereka mengambil keputusan untuk menamatkan musim domestik mereka dengan tidak mengisytiharkan sebarang juara dan juga penyingkiran serta kenaikan pangkat.
Pendirian UEFA ketika ini adalah mereka komited untuk musim 2019/2020 ditamatkan dengan jayanya. Namun begitu pihak pentadbir boleh bertolak ansur seandainya pertandingan akan dimulakan semula tetapi dengan format berlainan berbanding membatalkannya terus.