Tugas getir menanti Liverpool di pusingan 16 terakhir UEFA Champions League (UCL) apabila bakal bertemu juara bertahan – Real Madrid.
Hasil undian yang dilakukan semalam, mungkin ia mengembirakan penyokong setia Real Madrid namun tidak bagi peminat Liverpool apabila melihat lawan mereka di pusingan seterusnya.
Untuk lima pertemuan terakhir, Real mencatat empat kemenangan dan satu keputusan seri. Maka jika kita buat ramalan dari segi rekod ini, diatas kertas skuad bimbingan Jurgen Klopp bakal kecundang sekali lagi.
Jika istilah terkenal di Malaysia, ia seperti badi kepada Liverpool kerana setiap kali bertemu pasti keputusannya akan memberi khabar duka kepada juara UCL 2018/2019 ini.
Kali terakhir mereka bertemu di perlawanan akhir pada edisi 2021/2022 menyaksikan Real mengecewakan Liverpool untuk sekian kalinya dengan keputusan tipis 1-0 hasil jaringan pemain muda Brazil – Vinicius Junior.
Dari segi prestasi semasa, skuad kendalian Carlo Ancelotti menjadi pilihan dan tiada masalah untuk layak ke suku akhir kerana Liverpool ketika ini tidak begitu konsisten dalam prestasi mereka terutamanya ketika tugasan domestik.
Namun ia bukanlah ukuran sebenar kerana dua pasukan ini akan bertemu pada awal tahun hadapan dan ini memberi peluang untuk pasukan masing-masing membaiki apa yang diperlukan terutama wakil England ini.
Ditambah pula, Liverpool juga mempunyai prestasi yang baik dalam saingan Eropah dengan cuma kalah sekali sahaja dalam peringkat kumpulan.
Pada jendela perpindahan pemain Januari nanti, mungkin atas faktor bertemu Real akan membuatkan pihak pengurusan The Reds akan melakukan beberapa pembelian bagi mengatasi masalah mereka terutama di bahagian serangan.
Bagi peminat Los Blancos, pasti mereka gembira kerana mempunyai rekod yang baik tetapi harus berwaspada juga, kerana Real Madrid pernah ditunjuk jalan keluar oleh Liverpool di pusingan yang sama pada edisi 2008/2009
Dalam pertemuan ini, Liverpool mencatat kemenangan agregat 5-0 di pusingan 16 terakhir dan mungkinkah sejarah ini akan berulang kembali untuk mereka?
Mungkin ini satu-satunya keputusan yang boleh memberi motivasi kepada peminat Liverpool untuk mengharapkan pasukan kesayangan mereka mampu mengulangi apa yang pernah dilakukan pada masa itu.
Untuk penyokong Liverpool, usah khuatir kerana Real bukanlah terlalu kebal sehingga sukar untuk dikalahkan dan mereka pun pernah beberapa kali tersingkir di pusingan yang sama.
Cuma mungkin mereka bertemu Liverpool membuat keberangkalian untuk kalah itu tipis.
Prestasi semasa akan menentukan siapa yang akan layak ke pusingan seterusnya tetapi jika anak-anak buah Kloop tidak bangkit, maka meratapi sekali lagi kekalahan kepada wakil Sepanyol ini.