Badan pentadbir Liga Bola Sepak Belanda – KNVB – mengesahkan mereka akan menunda perlawanan yang dekat dengan tarikh aksi Ajax di separuh akhir Liga juara-juara Eropah.
Ini secara tidak langsung dapat membantu pasukan Ajax untuk berehat secukupnya dan tidak memecahkan jadual liga pada hujung musim.
Ajax Amsterdam ternyata mengejutkan ramai pihak apabila berjaya melayakkan diri ke separuh akhir UCL. Dalam dua aksi kalah mati sebelum ini mereka menyingkirkan Real Madrid dan juga Juventus.
KNVB mengesahkan perlawanan Liga Belanda hari perlawanan ke-33 akan ditunda – kesemuanya.
Pada awalnya KNVB mahu menugubah perlawanan yang hanya melibatkan pasukan Ajax. Namun selepas membuat beberapa pertimbangan pihak pengurusan Liga memutuskan kesemua perlawanan ditunda.
Perlawanan ke-33 sepatutnya berlangsung pada 28 April, iaitu dua hari sebelum separuh akhir pertama melibatkan pasukan Ajax.
Untuk beberapa perlawanan terakhir liga, ianya seharusnya dijalankan serentak kerana tidak mahu mewujudkan kelebihan secara tak langsung kepada beberapa pasukan yang bersaing kejuaraan, ataupun tempat ke Eropah dan juga penyingkiran.
Namun Eredivisie difahamkan pasukan lain turut menerima jika perlawanan ke-33 Ajax diawalkan ke 27 April. Masalahnya pula, tarikh itu adalah hari kebangsaan Belanda.
Pengarah Profesional KNVB – Eric Gudde dalam kenyataan beliau berkata: “Pengubahan pada jadual perlawanan adalah atas kesepakatan bersama. Ini untuk memberikan keutamaan walaupun agak kecil – ia diharap dapat membantu pasukan dari Belanda mara sejauh mungkin dalam UCL.”
“Dalam situasi sekarang, kalendar liga memberikan keutamaan kepada Ajax. Oleh kerana jadual yang terbabit adalah melibatkan perlawanan-perlawanan akhir musim, makan tiada ruang untuk kami menggunakan alternatif tertentu [seperti memecahkan tarikh perlawanan pada jadual].”
“Selepas beberapa minggu meneliti solusi, kami membincangkan beberapa Senario. Kami mahu menganjak jadual perlawanan ke-33 ke tarikh 15 Mei. Aksi ‘play-offs’ untuk penyingkiran dan promosi dan slot Eropah juga akan berubah.”
Gudde mengakui, sukar untuk memuaskan hati semua pihak terutama sekali para penyokong.
Namun beliau menyatakan tidak rugi untuk memberikan keutamaan dan sedikit sokongan kepada Ajax. Ini kerana kejayaan Ajax juga akan memberikan manfaat kepada liga Belanda.
“Tidak perlu anda persoalkan, adakah semua berpuas hati? Ini kerana lebih ramai mereka yang tidak setuju dengan langkah ini.”
“Namun apa yang sangat bagus daripada langkah ini kerana kita mengambil langkah yang perlu: Ajax bermain di separuh akhir UCL. Ini akan memberikan manfaat kepada bola sepak Belanda, bukan sahaja untuk Ajax.”
Di saingan domestik, Ajax masih bersaing dengan PSV untuk kejuaraan liga. Ketika ini mereka hanya dipisahkan perbezaan jaringan.