Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menekankan bahawa barisan pemainnya harus bertanggungjawab sepenuhnya atas situasi pasukan itu yang bergelut untuk mara ke pusingan kalah mati pertandingan UEFA Champions League (UCL) musim ini.
Namun pengurus dari Jerman itu percaya akan kemampuan pemain-pemain kendalian beliau untuk memperbetulkan keadaan ketika menentang Napoli – dalam perlawanan wajib menang buat kelab Merseyside itu.
Situasi sukar Liverpool
The Reds memerlukan kemenangan 1-0 atau dengan kelebihan dua gol untuk mara dari Kumpulan C. Namun sebarang bentuk kemenangan sudah pun memadai buat Liverpool sekiranya Paris Saint-Germain gagal menewaskan Red Star Belgrade dalam satu lagi perlawanan.
“Kami sendiri yang mewujudkan situasi ini. Tetapi kami masih mempunyai peluang untuk mara dan ia adalah sangat istimewa. Saya sudah tidak sabar menunggu perlawanan tersebut,” ujar Klopp dalam sidang media menjelang perlawanan.
Liverpool yang merupakan finalis UCL musim lalu menang dua perlawanan di tempat sendiri peringkat kumpulan – namun tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan di tempat lawan pada musim ini.
Harapkan tiada masalah dari pengadil
Dua kekalahan – masing-masing kepada Napoli dan Red Star Belgrade jelas memberikan masalah buat saingan Liverpool di saingan elit eropah pada musim ini.
“Kami tahu selepas perlawanan menentang Napoli, begitu juga ketika di Belgrade, ia akan menjadi sukar,” tambah Klopp.
“Tetapi kami beraksi dengan baik di Anfield dan untuk perlawanan ini kami harus tampil lebih baik.
“Saya memberitahu para pemain. Jika tidak ada perkara pelik dari pengadil, maka kita akan mendapatkan keputusan yang sewajarnya.”
Liverpool berhak sebagai skuad elit eropah
Pemain pertahanan Liverpool pula berkata Liverpool berhak mara sebagai salah sebuah pasukan elit eropah.
“Kami mahu menunjukkan kepada semua orang bahawa kelab ini sewajarnya terus layak beraksi di UCL.
“Kami beraksi baik di saingan domestik, dan kini mahu membuktikan kami layak berada sebagai salah sebuah pasukan di dalam pertandingan elit ini.
“Ia salah kami sendiri kerana berada di posisi ini, tetapi kini ia terletak di tangan kami sendiri untuk memperbetulkannya.
Dalam misi sukar Liverpool dalam aksi awal pagi nanti, Napoli hanya memerlukan satu mata untuk mara ke saingan kalah mati. Pasukan dari Itali itu juga kini memiliki rekod 12 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.