Langkah Mauricio Pochettino membawa masuk Christian Eriksen pada minit ke-70 ternyata membuahkan hasil yang diharapkan apabila pemain antarabangsa Denmark itu membantu Tottenham Hotspur mencatatkan kemenangan 1-0 keatas Inter Milan di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
Jaringan Eriksen pada minit ke-80 itu setelah menerima hantaran daripada Dele Alli sudah cukup untuk menjadikan persaingan buat Tottenham Hotspur dan Inter Milan untuk mengiringi Barcelona yang sudah pun menempah tiket ke saingan 16 terbaik.
Spurs dan Inter Milan kini terikat dengan tujuh mata, bagaimanapun skuad dari London itu menduduki tangga kedua kerana mempunyai kelebihan jaringan.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri serta berada dalam moral yang terbaik selepas berjaya menundukkan Chelsea dalam saingan domestik jelas menjadi tonik berguna buat Tottenham.
Harry Winks mempunyai peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-38 apabila beliau yang mendapat umpanan daripada Lucas Moura meledakkan rembatan melencong dari luar kawasan penalti Inter Milan.
Namun, percubaan menarik tersebut digagalkan palang gol ketika Samir Handanovic sudah tertewas.
Memasuki babak kedua Inter Milan turut memiliki peluang terbaik menerusi Ivan Perisic, bagaimanapun rembatan dari jarak dekat yang diledakkan pemain antarabangsa Croatia itu berjaya ditepis keluar Hugo Lloris.
Kemasukan Eriksen yang menggantikan Erik Lamela memberikan tuah buat tuan rumah selepas Eriksen berjaya menyudahkan bola hasil hantaran Alli untuk menghadiahkan gol kemenangan buat Spurs selepas hanya 10 minit beraksi.
Perlawanan terakhir yang bakal berlangsung pada 12 Disember nanti akan menjadi penentu pasukan mana yang bakal mengiringi Barcelona ke peringkat 16 terbaik.
Tottenham Hotspur berdepan tugas sukar apabila akan bertemu Barcelona di Nou Camp manakala Inter Milan akan melayani kunjungan PSV Eindhoven.
Jadual perlawanan tersebut memberikan bayangan satu persaingan yang menarik akan dapat disaksikan nanti.