Liverpool terlepas peluang untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 dengan lebih awal selepas tunduk 0-2 di tangan Atalanta pada aksi keempat yang berlangsung di Anfield, awal pagi tadi.
Keputusan itu juga bermakna rekod tanpa kalah dan tidak dibolosi Liverpool dalam saingan UCL musim ini tercalar susulan jaringan yang dihasilkan oleh Josip Illicic dan Robin Gosens pada separuh masa kedua.
Meskipun kembali diperkuatkan dengan kehadiran Mohamed Salah, Liverpool bagaimanapun menghadapi masalah di jentera pertahanan apabila Jurgen Klopp terpaksa membariskan dua pemain muda, Rhys Williams dan Neco Williams manakala turut menyenaraikan Konstantinos Tsimikas.
Selain daripada barisan pertahanan yang kelihatan sedikit longgar, jentera serangan The Reds begitu buntu apabila tiada serangan tepat ke arah pintu gol Atalanta dapat dijelmakan oleh gandingan Salah, Mane dan Divock Origi.
Kemasukan Diogo Jota, Roberto Firmino dan Takumi Minamino juga masih tidak mampu untuk memberikan sesuatu yang positif terhadap unit serangan pasukan tuan rumah.
Kesempatan tersebut nyata digunakan sepenuhnya oleh Atalanta yang dibimbing Gian Piero Gasperini apabila wakil Itali itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-60 menerusi Illicic.
Pemain kelahiran Bosnia yang beraksi bersama skuad kebangsaan Slovenia itu mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang menarik dilakukan ketua pasukan, Alejandro Gomez bagi memisahkan kedua-dua pasukan. Jaringan itu juga memperlihatkan kelalaian pemain pertahanan Liverpool yang tidak berupaya mengekang pergerakan Illicic dalam kawasan penalti.
Masalah yang sama berulang kembali berselang empat minit kemudian sehingga membolehkan pemain pertahanan, Robin Gosens dengan mudah menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti dan tidak mampu dihalang oleh Alisson Becker di gawang Liverpool.
Kekalahan yang dialami bagaimanapun tidak mengganggu kedudukan Liverpool di tangga teratas dengan sembilan mata, berkelebihan dua mata di belakang Ajax dan Atalanta yang berkongsi mata tetapi kelab dari Belanda itu memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Tempat keempat diisi FC Midtjylland yang tewas pada kesemua perlawanan setakat ini. Ia juga memberikan makna persaingan ke pusingan seterusnya masih lagi menjadi rebutan antara Liverpool, Ajax dan Atalanta.
Menarik untuk disaksikan pengakhirannya!
Kredit featured image: Jon Super – Pool/Getty Images