UCL 2020/21: Rashford Jadi Watak Utama Man Utd Belasah RB Leipzig

Man Utd

Manchester United meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 selepas dengan bergaya menbelasah wakil Jerman, RB Leipzig 5-0 pada aksi yang berlangsung di Old Trafford, sebentar tadi.

Kemasukan Marcus Rashford dan Bruno Fernandes pada babak kedua nyata menjadi titik tolak kepada aksi yang lebih meyakinkan buat Manchester United selepas ditekan RB Leipzig sebaik sahaja mereka memperoleh jaringan pendahuluan. Ia jelas terbukti apabila Rashford berjaya meledakkan hatrik.

Manchester United mendapat peluang untuk berada di hadapan seawal minit keenam menerusi Fred tetapi rembatan padu dari luar kawasan penalti diledakkan pemain skuad kebangsaan Brazil itu dinafikan penjaga gol, Peter Gulacsi.

Jaringan yang dinantikan United hadir pada minit ke-21 apabila Mason Greenwood bijak menyempurnakan peluang susulan umpanan menarik daripada Paul Pogba ke dalam kawasan penalti untuk memberikan kelebihan buat skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu.

Berselang tiga minit kemudian, Christopher Nkunku mendapat peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan, namun rembatan padunya dinafikan dengan cemerlang penjaga gol Manchester United, David De Gea.

Penjaga gol kelahiran Madrid itu terus membuktikan ketangkasannya dengan menggagalkan percubaan Ibrahima Konate menerusi tandukan jarak dekat pada minit ke-65.

Bagaikan mendapat tonik berguna berikutan kehadiran Rashford dan Fernandes, Manchester United semakin bernafsu untuk menambah jaringan dan usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-74.

Berpunca daripada lorongan cantik daripada Fernandes, Rashford yang berjaya melepasi perangkap ofsaid di tengah padang meluru pantas ke hadapan pintu gol Leipzig sekali gus membolosi kawalan Gulacsi untuk gol kedua perlawanan.

Hanya berselang empat minit, Rashford sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila tekanan diberikan Fred terhadap Marcel Sabitzer membolehkan Rashford mengawal bola dan kemudiannya melepaskan rembatan rendah bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Tidak cukup dengan itu, Anthony Martial menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-87 selepas Sabitzer melakukan kekasaran terhadap penyerang berusia 24 tahun itu dalam kawasan penalti.

Rashford terus mempamerkan bisa sentuhannya apabila berjaya melengkapkan hatrik pada masa kecederaan setelah beliau menyudahkan peluang hasil hantaran lintang dilakukan Martial bagi menutup pesta jaringan Manchester United pada perlawanan ini.

Dua kemenangan berturut-turut yang diraih meletakkan Manchester United di tangga teratas kumpulan H dengan enam mata, berkelebihan tiga mata di hadapan Paris Saint-Germain dan RB Leipzig.

Kredit featured image: Clive Brunskill/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN