UCL 2020/21: ‘Mimpi Ngeri’ Morata Hiasi Kejayaan Barcelona Atasi Juventus

Barcelona

Jaringan Ousmane Dembele dan Lionel Messi di setiap babak menghadiahkan kemenangan kedua buat Barcelona selepas tidak terlalu berdepan masalah untuk menumpaskan Juventus 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21, sebentar tadi.

Sekiranya sebelum ini pengendali Barcelona, Ronald Koeman mendakwa Video Assistant Referee (VAR) seringkali ‘menentang’ pasukannya tetapi lain ceritanya pada perlawanan di Allianz Stadium.

Hal ini kerana VAR telah membatalkan tiga jaringan yang dihasilkan oleh Alvaro Morata selepas penyerang kelahiran Madrid itu terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-15, 30 dan 55. Selain itu, The Blaugrana turut dihadiahkan sepakan penalti pada lewat permainan.

Malang turut menimpa skuad kendalian Andrea Pirlo berikutan layangan kad merah buat pemain pertahanan, Merih Demiral pada minit ke-85 selepas beliau menerima kad kuning kedua akibat kekasarannya terhadap Miralem Pjanic.

Barcelona yang mahu segera bangkit daripada kekalahan pada pertembungan El Clasico tempoh hari mempamerkan corak permainan kemas apabila mendominasi sebahagian besar permainan terutamanya pada separuh masa kedua.

Kecuali tiga jaringan Morata yang dibatalkan, pertahanan Barcelona diketuai Clement Lenglet langsung tidak membenarkan jentera serangan Juventus memperolehi walau satu pun percubaan tepat ke arah pintu gol mereka.

Tiga gol dibatalkan serta tidak mampu untuk menjelmakan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol lawan walaupun beraksi 90 minit, Morata sudah pastinya menjadi pemain yang paling kecewa pada perlawanan ini berikutan keadaan tersebut.

Antoine Griezmann hampir meletakkan Barcelona di hadapan seawal minit ketiga tetapi rembatannya dalam kawasan penalti Juventus hanya singgah di tiang gol bagi menggagalkan usaha awal dilancarkan skuad bimbingan Ronald Koeman tersebut.

Kehampaan itu berjaya ditebus Ousmane Dembele apabila percubaannya dari luar kawasan penalti membias terkena kaki Federico Chiesa lalu menerjah gawang bagi menewaskan penjaga gol, Wojciech Szczesny pada minit ke-14.

Memasuki babak kedua, Barcelona berterusan memberikan tekanan ke kubu Juventus tetapi segala usaha yang dicurahkan tidak mampu untuk menambah jaringan kedua sehinggalah kekasaran pemain gantian, Federico Bernardeschi terhadap Ansu Fati pada masa kecederaan telah memberikan sepakan penalti buat kelab gergasi Sepanyol itu.

Lionel Messi yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang tersebut sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0 buat Barcelona.

Kemenangan itu meletakkan Barcelona di tangga teratas kumpulan G selepas mencatatkan enam mata, berkelebihan tiga mata di hadapan Juventus manakala Dynamo Kiev dan Ferencvaros terikat dengan satu mata untuk menduduki tempat ketiga dan keempat.

Kredit featured image: Tullio Puglia – UEFA/UEFA via Getty Images

 

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN