Marcus Rashford tenang menjaringkan gol dari sepakan penalti untuk Manchester United melengkapkan kebangkitan luar biasa, sekaligus menumbangkan Paris Saint-Germain (PSG) di tempat lawan pada awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut sekaligus melayakkan Manchester United untuk mara ke suku akhir pertandingan UEFA Champions League, atas kelebihan jaringan di tempat lawan.
Rashford menyempurnakan penalti -dianugerahkan oleh VAR- pada minit ke-94 perlawanan setelah percubaan Diogo Dalot terkena tangan Presnel Kimpembe.
Tidak ada siapa yang berani mempertaruhkan United akan mara ke pusingan berikutnya. Namun kini skuad dengan jolokan nama The Red Devils itu mencipta sejarah sebagai pasukan pertama di Eropah yang mara ke pusingan berikutnya – setelah ketinggalan 2-0 secara agregat, dan tewas aksi di halaman sendiri.
Permulaan baik
Skuad kendalian pengurus interim, Ole Gunnar Solskjaer bermula dengan baik apabila menjaringkan gol melalui Romelu Lukaku seawal minit ke-2 perlawanan. Penyerang Belgium itu bijak membaca hantaran ke belakang Thilo Kehrer sebelum menewaskan Buffon di hadapan gawang.
PSG kemudian melebarkan kelebihan secara agregat kepada 3-1 apabila Juan Bernat menyempurnakan hantaran Kylian Mbappe pada minit ke-12. Pasukan tuan rumah memiliki deretan peluang selepas itu, memberikan Eric Bailly banyak masalah pada selama 35 minit perlawanan -sebelum pemain itu digantikan dengan Diogo Dalot akibat kecederaan.
Kemudian PSG terus dihukum apabila Lukaku menyempurnakan bola yang muntah dari tampanan Gianluigi Buffon, hasil percubaan jarak jauh Rashford – untuk agregat 3-2.
PSG seolah-olah sudah pasti akan melangkah ke suku akhir sehingga percubaan Dalot terkena tangan Kimpembe. Perlawanan ditangguhkan seketika untuk membenarkan pengadil mengkaji keputusan VAR.
Rashford kemudiannya yakin menyempurnakan penalti, dan ‘angin kemenangan’ kini beralih milik Manchester United untuk layak ke suku akhir UEFA Champions League.
Ikuti rangkuman perlawanan seperti di bawah:
VIDEO: GOAL