Juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah, Real Madrid bermula dengan langkah positif selepas berjaya menundukkan wakil Itali, AS Roma 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Aksi pada separuh masa pertama sememangnya memperlihatkan penguasaan yang ditampilkan anak buah Julen Lopetegui.
Deretan percubaan yang dimiliki Sergio Ramos, Isco dan Gareth Bale masih gagal menjelmakan jaringan. Penyudah yang tumpul jelas mengecewakan.
Beberapa peluang yang dicipta pasukan pelawat juga masih tidak mampu untuk membuka tirai jaringan.
Sehinggalah menjelma pada penghujung babak pertama apabila sepakan percuma yang diambil Isco berjaya membuatkan Robin Olsen terpaku bagi menggembirakan penyokong setia Los Blancos.
Bale terlepas peluang keemasan pada minit ke-51 selepas percubaan dilakukannya sekadar singgah di palang gol.
Kesilapan tersebut kemudiannya ditebus Bale berselang tujuh minit kemudian.
Pemain antarabangsa Wales itu yang menerima lorongan cantik dari Luka Modric, membuat larian solo yang pantas sekaligus melepaskan rembatan bagi gol kedua buat Real Madrid.
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, Mariano Diaz yang kembali menyertai Real Madrid melepaskan satu sepakan melencong cantik dari luar kotak penalti bagi terus mengukuhkan kedudukan.
Permulaan yang baik buat Los Blancos dalam misi memburu mahkota Liga Juara-Juara Eropah buat kali keempat berturut-turut.